Telur, beras, roti dan makanan kucing diserbu pelanggan

Keadaan rak telur yang kosong di Pasaraya Econsave di Taman Teratai Skudai, Johor Bahru selepas dibeli pelanggan pada Sabtu.
Keadaan rak telur yang kosong di Pasaraya Econsave di Taman Teratai Skudai, Johor Bahru selepas dibeli pelanggan pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Telur, beras, roti, sabun dan tisu tandas antara barangan yang paling banyak dibeli pelanggan pada Sabtu sehingga menyebabkan rak pasar raya kosong.

Malah rak yang menempatkan makanan kucing turut menjadi tumpuan, apabila pembelian makanan kucing dilaporkan meningkat.

Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, kehadiran pelanggan yang ramai pada Sabtu menyebabkan jumlah pembelian barangan keperluan meningkat secara mendadak.

Katanya, situasi itu berlaku susulan pengumuman penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' fasa pertama di seluruh negara bermula Selasa ini.

"Belum pun pasar raya dibuka pada jam 8 pagi, semalam (Sabtu) sudah ada pelanggan yang beratur. Keadaan pelanggan yang agak ramai berlaku di pasar raya kami di Taman Teratai Skudai, Simpang Renggam dan Kota Tinggi.

"Namun keadaan terkawal dan pelanggan beratur tidak lama di luar pasar raya kerana pekerja memantau keadaan," katanya ketika ditemui di Taman Teratai Skudai, di sini pada Ahad.

Keadaan Pasaraya Econsave di Taman Teratai Skudai, Johor Bahru pada Ahad lebih tenang dengan bilangan pelanggan tidak terlalu ramai berbanding pada Sabtu.
Keadaan Pasaraya Econsave di Taman Teratai Skudai, Johor Bahru pada Ahad lebih tenang dengan bilangan pelanggan tidak terlalu ramai berbanding pada Sabtu.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pekerja pasar raya sentiasa melakukan kerja-kerja menyusun stok barangan keperluan bagi memastikan barang penuh di rak.

Artikel Berkaitan:

"Pasar raya kami mempunyai stok bekalan barang yang mencukupi, orang ramai tidak perlu bimbang dengan melakukan pembelian panik.

"Sebagai contoh, ayam dan ikan semuanya dari pembekal tempatan di Johor jadi tidak timbul masalah bekalan putus ketika 'total lockdown' nanti.

"Bekalan beras pula dihantar pembekal dalam tempoh dua atau tiga kali seminggu begitu juga dengan telur ayam. Malah pasar raya kami mempunyai stor yang mampu menyimpan bekalan barangan keperluan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan," katanya.

Beliau turut berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengekalkan masa operasi pasar raya iaitu jam 8 pagi hingga 10 malam bagi memudahkan individu bekerja membeli barang keperluan.

Tinjauan Sinar Harian di Pasaraya Econsave Taman Teratai Skudai, Johor Bahru pada Ahad mendapati keadaan pasar raya berkenaan dilihat lebih tenang.