X

Kindly register in order to view this article
!

Memori Mercedes Benz pemberian Allahyarham Harussani

Mohmad Walid bersama kereta jenis Mercedes Ben model W 123 yang dihadiahkan Allahyarham Harussani.
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sebuah kereta jenis Mercedes Benz model W 123 pemberian Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria memahat memori paling berharga dan terindah buat keluarga Mohmad Walid Ahmad Shawaluddin.

Mohmad Walid, 66, jiran dan pernah berkhidmat sebagai tukang kebun di kediaman Mufti Perak itu di Kampung Melayu, Sungai Rapat berkata, kenderaan itu dihadiahkan pada tahun-tahun pertama dia bekerja bagi memudahkannya menghantar anak-anaknya ke sekolah.

Menurut Mohmad Walid, mungkin khuatir dengan keselamatan dirinya yang ketika itu hanya menggunakan kenderaan usang untuk ke sana sini, Allahyarham kemudiannya menghadiahkan salah sebuah kereta kesayangan miliknya untuk digunakan Mohmad Walid.

"Kereta itu adalah antara kenderaan kesayangan Tan Sri, tetapi arwah hadiahkan kepada saya supaya mudahkan urusan menghantar anak-anak yang ketika itu masih kecil ke sekolah.

"Hari ini walaupun kereta itu sudah tidak dapat lagi digunakan, saya tetap menjaganya dengan baik, kerana ia antara pemberian paling berharga yang Tan Sri berikan kepada keluarga saya," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Mohmad Walid berkata, sepanjang tempoh 11 tahun bekerja sebagai tukang kebun, Allahyarham tidak pernah mengetepikan kebajikan dia dan keluarga, malah memperlakukan mereka seperti ahli keluarga sendiri.

Katanya, paling dititikberatkan adalah urusan sekolah 10 anak-anaknya dan keselesaan rumah mereka yang terletak berhadapan dengan kediaman Allahyarham.

"Arwah layan kami seperti keluarga sendiri. Barang dalam rumah ini, boleh dikatakan banyak disumbangkan oleh arwah, ruang hadapan rumah itu pun, arwah yang bantu tambahkan.

"Pemergian Allahyarham membuatkan kami terasa seperti kehilangan ahli keluarga sendiri, alhamdulillah saya dapat juga melihat arwah dikebumikan tadi walaupun sekadar melihat dari luar pagar," katanya.

Sementara itu, isteri Mohmad Walid, Asmak Idris, 58, berkata, kali terakhir mereka bertemu Harussani pada tahun lepas ketika menziarahi Allahyarham yang dimasukkan ke hospital akibat serangan strok.

Ketika itu Allahyarham masih mengenali mereka suami isteri meskipun dalam keadaan sukar untuk bercakap.

"Sudah jadi kelaziman pada musim raya tahun-tahun sebelum ini, 1 Syawal kami mesti beraya di kediamannya sebab selagi kami tak datang beraya, arwah akan telefon berkali-kali jemput datang ke rumah.

"Walaupun suami hanya pekerja, tetapi hubungan kami sangat rapat, Tan Sri bahasakan dirinya saya dan isteri beliau, bahasakan diri kepada anak-anak saya sebagai mak cik," katanya.

Jenazah Harussani, 82, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya kira-kira jam 6.20 petang pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Mufti Perak meninggal dunia

Hujan renyai iringi pengebumian Tan Sri Harussani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!