Korban Covid-19 di Thailand sudah cecah lebih 1,000

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK - Jumlah kematian akibat Covid-19 di Thailand sudah melepasi 1,000 orang ketika kerajaan terus menggiatkan usaha membendung gelombang ketiga jangkitan terutama di kem pekerja binaan di Bangkok.

Sejak 24 jam lalu, negara ini mencatatkan 4,528 kes baharu dan 24 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 154,307 dan 1,012 korban.

Menurut Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan, korban terbaru itu melibatkan 13 wanita dan 11 lelaki berusia antara 38 hingga 86 tahun termasuk 14 di Bangkok, Nonthaburi (tiga), Chon Buri (dua) dan masing-masing satu di Chiang Mai, Samut Prakan, Samut Sakhon, Suphan Buri dan Nakhon Si Thammarat.

Dari 4,528 kes baharu, sebanyak 4,501 penularan tempatan termasuk 1,902 kes babitkan penjara dan 27 kes import.

Katanya, untuk mengekang penularan di Bangkok, pihak berkuasa kesihatan akan melakukan pengesanan kes aktif di pasar basah dan kem pekerja binaan.

"Ada kira-kira 409 kem pekerja binaan di semua daerah di Bangkok dikendalikan 134 syarikat pembinaan. Dalam satu kem mungkin jumlah pekerja cecah 1,000 orang.

"Dari 1 hingga 10 Jun, pihak berkuasa berkaitan akan melakukan pemeriksaan di 30 kem di Bangkok serta mengumpul sampel air liur pekerja untuk diuji," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Ahad.

Sementara itu, Apisami menggesa warga Thailand di Malaysia yang mahu pulang berikutan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ selama 14 hari mulai esok (Isnin) disaran masuk melalui pusat pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak berkuasa telah menahan dua warga tempatan cuba masuk ke negara ini ekoran ‘total lockdown’ di Malaysia.

"Kami tidak pernah melarang mereka balik tetapi kami berharap mereka masuk melalui pusat pemeriksaan," katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Thailand telah memperketat kawalan sempadan selepas varian Afrika Selatan dikesan awal bulan ini melibatkan mereka yang masuk melalui sempadan secara haram.

Kes tempatan varian Afrika Selatan pertama dilaporkan membabitkan seorang peniaga Thailand berusia 32 tahun dari Tak Bai, Narathiwat, yang dikunjungi ahli keluarga dari Malaysia. - Bernama