Dua lagi kluster baharu diisytihar di Sarawak, 80 kluster aktif

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Ahad mengisytiharkan dua lagi kluster baharu Covid-19, iaitu Kluster Gerigat di Kabong dan Kluster Sungai Parik di Sri Aman, menjadikan 80 kluster yang masih aktif di negeri ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Kluster Gerigat merupakan kluster komuniti yang dikesan di sebuah kampung di Gerigat, Kabong yang telah merebak melalui pergerakan sosial dan aktiviti ziarah Aidilfitri yang lepas.

“Sejumlah 358 individu disaring dan 20 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 12 kes didapati negatif dan 326 kes masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kluster Sungai Parik pula merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan empat lokaliti di kawasan Sungai Parik di Lingga dan Tanjung Bijat, Sri Aman.

Jelasnya, 130 individu telah disaring dengan 24 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, tujuh didapati negatif dan 99 masih menunggu keputusan.

Sementara itu, JPBN memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula semalam di tujuh lokaliti susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

PKPD itu melibatkan lima Rumah Panjang (Rh.) di Lingga, Sri Aman iaitu Rh. Gerunsin Kampung Banting Ili; Rh. Somil Kampung Nansang Ulu Banting; Rh. Kedang Kampung Telok Mulong Banting; Rh. Tanchin Kampung Nansang Ili Bantin dan Rh. Johned Jungkong Balau Bakong.

Selain itu, Rh. Ujan, Nanga Spaya Engkari, Lubok Antu dan Rh. Lau, Rantau Pitak Entabai, Julau turut dikenakan PKPD.

Artikel Berkaitan:

Sarawak mencatatkan 513 kes baharu Covid-19 pada Ahad dengan 226 daripadanya telah dikesan di daerah Kuching dan Miri selain empat kematian dilaporkan. - Bernama