X

Kindly register in order to view this article
!

Potong elaun menteri, salurkan ke pakej bantuan Covid-19

Dr Azman (kanan) diberi taklimat ringkas oleh pegawai perubatan ketika meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Klinik Kesihatan Kuala Kedah.
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail mencadangkan agar elaun menteri Kabinet dipotong untuk disalurkan kepada pakej bantuan Covid-19 sehingga pandemik itu berakhir.

Menurut beliau, ini kerana pelaksanaan 'total lockdown' di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun sehingga 14 Jun akan menjejaskan ekonomi sebilangan besar rakyat.

“Negara perlukan peruntukan besar untuk tangani pandemik termasuk menyediakan bantuan atau pakej rangsangan kepada rakyat. Ketika inilah wakil rakyat harus berkorban salurkan dana mereka untuk bantu kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dr Azman berkata, antara pekerja yang terkesan teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) adalah mereka yang menerima gaji harian serta majikan kelas pertengahan.

“Saya harap perhatian khusus diberikan tanpa ada pihak keciciran dalam menerima bantuan. Kerajaan pula harus lebih teliti dalam apa-apa perbelanjaan lain, mana yang boleh dijimatkan, hendaklah dijimatkan,” katanya.

Menurutnya, kehidupan rakyat kini amat tertekan dan berkecamuk, adalah tidak cakna sekiranya kerajaan tidak bertegas dari aspek penyaluran bantuan selain memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi.

“Saya setuju perintah berkurung dilaksanakan, berdasarkan situasi terkini pandemik, di mana gelombang wabak semakin membesar dengan jumlah kematian seolah-olah tidak terkawal. InsyaALLAH, PKP 3.0 mampu mengurangkan jumlah kes harian, kematian, mengurangkan lelah barisan hadapan selain menyekat penularan varian baharu,” katanya.

Dr Azman bagaimanapun mahu kerajaan memberikan perhatian kepada beban rakyat khususnya berkaitan hutang bank, peminjam wang tidak berlesen atau ah long dan penggunaan utiliti.

“Bantuan bakul makanan boleh diteruskan, namun yang lebih memeritkan golongan berpendapatan rendah adalah tiga perkara terbabit.

Saya harap kerajaan bertegas dengan sektor perbankan untuk memberi moratorium selama tiga bulan. Berdasarkan laporan beberapa bank, mereka memperoleh keuntungan dan wajar pihak bank turut sama membantu pelanggan yang selama ini menjadi pemangkin kemajuan mereka,” katanya.

Menurutnya, namun satu pendekatan tuntas wajar difikirkan untuk membantu rakyat yang membuat pinjaman dengan ah long.

“Utiliti seperti air dan elektrik di bawah kawalan kerajaan dan memudahkan kerajaan untuk bantu rakyat. Umum mengetahui kadar penggunaan air dan elektrik akan meningkat ketika PKP, sekaligus keuntungan berganda. Oleh itu, wajar rebat diberikan tanpa pengkelasan dari segi tunggakan,” katanya.

Tambah Dr Azman, majikan kelas pertengahan turut dalam dilema apabila gaji pekerja perlu dibayar walaupun tidak beroperasi.

“Aliran kewangan jangka panjang akan mengalami kesannya. Kementerian terbabit wajar berikan inisiatif pelepasan cukai atau pembayaran gaji separuh yang ditanggung kerajaan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!