Pemain naturalisasi tak beri impak

Sumareh antara pemain naturalisasi negara yang menyarung jersi skuad Harimau Malaya bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
Sumareh antara pemain naturalisasi negara yang menyarung jersi skuad Harimau Malaya bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
A
A
A

LEGENDA bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh meluahkan rasa kecewa dengan prestasi yang ditonjolkan barisan pemain naturalisasi negara dalam dua aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini yang menyaksikan keputusan tidak memihak kepada skuad Harimau Malaya.

Bekas tonggak pertahanan Selangor itu juga turut mempersoal keperluan mengambil pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan, yang menurutnya tidak memberikan impak besar kepada prestasi keseluruhan pasukan.

“Mereka kalah 0-2 (kepada Bahrain), jadi apa perlunya bawa masuk pemain naturalisasi untuk bermain? Dulu tanpa pemain naturalisasi pun Malaysia boleh layak ke Sukan Olimpik. Sekarang bawa mereka (pemain naturalisasi) pun tidak boleh bantu catat kemenangan.

“Saya tidak marah pada mana-mana pihak, tetapi saya marah kenapa mereka (pemain naturalisasi) tidak dapat beraksi seperti di Liga Super yang menyaksikan mereka berjaya memikat hati untuk dinaturalisasikan. Bermainlah demi rasa cinta kepada negara,” katanya pada Ahad.

Santokh, 68, yang merupakan antara watak penting dalam kejayaan skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 (kemudian menarik diri sebagai membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan), mengakui beliau tidak menggemari idea pengambilan pemain naturalisasi beraksi dalam skuad kebangsaan kerana memikirkan peluang dan nasib pemain tempatan.

“Apakah yang akan terjadi kepada pemain-pemain tempatan kita yang berlatih bersungguh-sungguh untuk menyarung jersi negara? Untuk siapa mereka nak bermain lagi kalau bukan pasukan negara,” katanya.

Skuad kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe tewas 1-4 kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Ahad lepas sebelum tunduk 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bahrain, Riffa, semalam.

Bagaimanapun, pemain naturalisasi terbaharu negara iaitu anak kelahiran Brazil, Guilherme De Paula, 34, berjaya mencatat nama sebagai penjaring ketika pertama kali menyarung jersi kebangsaan pada aksi menentang Kuwait.

Artikel Berkaitan:

Dua perlawanan tersebut diadakan sebelum Malaysia memulakan kempen saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 menentang UAE pada Khamis ini di Stadium Zabeel, Dubai.

Cheng Hoe menyenaraikan ketiga-tiga pemain naturalisasi negara - pemain tengah Newcastle Jets Liridon Krasniqi, pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohamadou Sumareh dan De Paula (JDT) - dalam senarai 25 pemain skuad negara pada kempen kelayakan kali ini.

Sementara itu, seorang lagi legenda bola sepak negara, Khalid Ali berkata, perbezaan prestasi di antara skuad kebangsaan dan dua pasukan lawan disebabkan oleh jumlah perlawanan yang telah diharungi oleh ketiga-tiga pasukan sejak penularan pandemik pada Covid-19 awal tahun lalu.

Beliau berkata, skuad negara yang tidak mempunyai aksi perlawanan sejak November 2019 itu dilihat bergelut untuk mencapai tahap prestasi terbaik dalam setiap perlawanan dan daripada dua perlawanan berkenaan, banyak yang boleh dipelajari dan diperbaiki.

“Banyak kita boleh belajar dalam dua perlawanan itu dan satu daripadanya ialah kekurangan dari segi hilang penguasaan bola selain mudah ‘off position’. Kesilapan lebih jelas mudah berlaku selepas memasuki minit ke-60 permainan dan ini hanya disebabkan kurang kecergasan,” katanya.

Bekas penyerang prolifik skuad negara dalam kempen Kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980 itu juga menggesa kelemahan itu segera dibaiki supaya tampil lebih bersedia ketika turun menentang UAE dalam misi meraih kemenangan.

Selepas aksi menentang pasukan UAE bimbingan pengendali Belanda Bert van Marwijk, skuad kebangsaan akan menamatkan baki saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu berdepan Vietnam dan Thailand, masing-masing pada 11 dan 15 Jun di Dubai. - Bernama