X

Kindly register in order to view this article
!

1,000 klinik dan hospital swasta jadi PPV sebelum akhir Jun ini

Khairy Jamaluddin ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan meletakkan sasaran untuk menjadikan 1,000 klinik perubatan am swasta (GP) dan hospital swasta sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum 30 Jun ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini membolehkan PPV swasta itu mampu memberi vaksin dengan sasaran kira-kira 40,000 dos sehari tertakluk kepada bekalan vaksin.

“Ini sasaran kita untuk klinik (dan hospital) swasta, tertakluk kepada bekalan vaksin. Sebelum ini klinik dan hospital swasta tidak perlu terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebab bekalan vaksin tidak banyak.

“Selepas ini, apabila bekalan vaksin sudah meningkat, maka kita hendak memudah cara klinik dan hospital swasta untuk memberi vaksin melalui program kita secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Ahad.

Khairy berkata, sehingga kini sebanyak 1,800 GP daripada 2,500 GP berdaftar telah menjalani latihan bersama ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) sebelum membuka PPV masing-masing.

Mengenai isu bakal jemaah haji yang telah disuntik vaksin Sinovac, beliau berkata, kerajaan akan berbincang dengan kerajaan Arab Saudi bagi memberi kelonggaran kepada golongan itu.

Ini berikutan Arab Saudi ketika ini hanya meluluskan vaksin jenama Pfizer dan AstraZeneca bagi memasuki negara itu.

“... kalau untuk bakal jemaah haji yang belum divaksinasi, untuk Tabung Haji kita bagi Pfizer.

“Saya juga telah minta nasihat daripada jawatankuasa pakar kita sekiranya seseorang disuntik dengan Sinovac boleh disuntik lagi dengan Pfizer, itu pun belum terima jawapan,” katanya.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan ciri-ciri terbaharu di dalam aplikasi MySejahtera akan ditambah bagi membolehkan pengguna yang menerima salah tarikh janji temu vaksin AstraZeneca untuk membatalkan atau menukar tarikh baharu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!