Sediakan taska kos rendah, bantu ibu tunggal

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), mencadangkan diwujudkan taman asuhan kanak-kanak (taska) kos rendah apabila pusat itu dibenarkan beroperasi bagi membantu ibu tunggal sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, taska dan pusat jagaan itu membolehkan golongan berkenaan terus bekerja mencari sumber pendapatan tanpa perlu bimbang keselamatan anak-anak mereka.

"Tugas mencari rezeki terletak di bahu mereka tetapi tanggungjawab sebagai ibu menghalang golongan ini mencari rezeki.

“Memandangkan kini taska tidak dibenarkan beroperasi maka idea ini merupakan cadangan pada masa yang sesuai,“ katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, setakat ini keraja sudah menyediakan pelbagai bantuan termasuk bantuan kepada 300,000 Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mereka yang layak untuk menerima bayaran secara ‘one-off’ atau sekali bayaran berjumlah RM300 telah menerima bantuan sebelum Hari Raya Aidiladha tahun lepas.

“Bantuan ini diumumkan berikutan golongan ini antara yang terkesan dengan pelaksanaan PKP bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

“Diharapkan kali ini, pihak berwajib dapat sekali lagi membantu mereka mengharungi PKP dengan lebih baik dan tidak terjejas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, kebanyakan ibu tunggal bukan sahaja hilang sumber pendapatan tetapi tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung hidup sekeluarga.

“Mereka pastinya mengharapkan bantuan kewangan, tempat tinggal dan barangan asas untuk menyara hidup anak-anak,” jelasnya.

Lam Thye turut menyeru masyarakat menyokong ibu tunggal yang berniaga dari rumah.