ABIM persoal kenyataan MOT tentang pesawat Israel

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Justifikasi Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berhubung pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang memasuki ruang udara Malaysia baru-baru ini amat mengelirukan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ABIM memandang berat kenyataan Kementerian Pengangkutan Malaysia yang mengesahkan bahawa sebuah pesawat Israel telah melalui ruang udara Malaysia pada 17 Mei lalu.

Menurutnya, Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan memiliki hak untuk menutup akses ruang udara serta sempadannya kepada mana-mana entiti Israel.

"Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai komitmen keselamatan untuk menghadapi ancaman daripada Israel, khususnya setelah rakyat Malaysia mempamerkan solidariti luar biasa ke atas warga Palestin baru-baru ini.

"ABIM juga merujuk peristiwa yang berlaku pada tahun 2017, apabila kerajaan Indonesia telah menutup ruang udaranya daripada dilalui pesawat Israel yang dinaiki Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, ABIM turut menggesa pihak kerajaan untuk bertindak lebih tegas bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat Israel di Singapura bukan untuk mengintip

Pesawat syarikat Israel dapat kelulusan lalu ruang udara Malaysia

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, bersempena Hari Antarabangsa Pasukan Pengaman PBB (Resolusi 57/129 Perhimpunan Agong PBB) pada Ahad, ABIM bersama pertubuhan pelbagai agama menyerahkan Memorandum kepada PBB.

Katanya, memorandum tersebut menggesa komitmen PBB untuk memulakan langkah-langkah lebih berkesan bagi memastikan hak keamanan kepada rakyat Palestin dipertahankan daripada kerakusan tidak berperikemanusiaan regim Zionis Israel.

Pada Sabtu, MOT memaklumkan pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara Malaysia pada Selasa lalu disahkan mendapat kelulusan penerbangan Malaysia.

MOT dalam satu kenyataan berkata, kebenaran bagi pesawat awam tersebut dibuat berdasarkan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota.