X

Kindly register in order to view this article
!

Peningkatan kes Covid-19 di Kedah hasil ujian saringan bersasar: MB

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kota Setar di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

ALOR SETAR - Ujian saringan bersasar di kawasan berisiko yang dilaksanakan ketika ini di negeri ini merupakan penyumbang kepada peningkatan jumlah kes positif yang tinggi di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang memaklumkan mereka sememangnya membuat saringan bersasar di kawasan sasaran.

"Antara contoh lokasi pilihan ujian saringan bersasar ialah pasar borong dan disebabkan itu, kes menunjukkan peningkatan disebabkan kita memang mencari tempat-tempat yang berisiko.

"Di kawasan pasar, prosedur operasi standard (SOP) dipraktikkan mungkin agak kurang jadi ujian saringan bersasar dilaksanakan di kawasan berisiko sedemikian," katanya pemberita selepas lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, beliau merasakan langkah ujian saringan bersasar di kawasan berisiko merupakan langkah terbaik untuk mengesan individu dijangkiti.

"Itulah sahaja caranya, jadi apabila kita pergi tempat tiada maka tiadalah, dan apabila kita pergi ke kawasan sasaran maka adalah banyak kes jangkitan yang dicatatkan," katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri tidak bercadang menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar dan sembilan lokaliti di daerah Kubang Pasu.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak meminta supaya dua lokasi dikenakan PKPD disambung selepas perlaksanaan masing-masing tamat tidak lama nanti.

"Tiada, kita tidak minta lanjut selepas tamat nanti tetapi terus ikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang diputuskan kerajaan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memberitahu, beliau telah meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menentukan prosedur operasi standard (SOP) kepada pesawah susulan perlaksanaan PKP penuh itu.

"Mereka boleh jumpa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk mendapatkan surat dan SOP ditetapkan, malah perkara berkenaan telah diuruskan MADA, jadi saya melihat tiada masalah akan timbul.

"Dahulu, ada masalah sebab musim menuai padi tetapi ketika ini bukan musimnya," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi mengingatkan rakyat Kedah supaya tidak membuat pembelian panik susulan pelaksanaan PKP penuh fasa satu bermula Selasa ini hingga 14 Jun nanti.

"Tidak perlu pembelian panik memandangkan ketua keluarga masih boleh keluar memandangkan masih ada sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu," katanya.

Katanya, rakyat Kedah perlu sedar bahawa kes Covid-19 di negeri ini merupakan antara kes tertinggi ketika ini dengan jumlah kumulatif telah mencecah 20,000 kes," katanya

Tambah beliau, masyarakat diharapkan memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran Covid-19.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!