GLC perlu ditadbir individu berkelayakan, bukan ahli politik

Muka hadapan Sinar Harian hari ini.
Muka hadapan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu pelantikan ahli politik membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukan perkara baharu malah sudah menjadi kebiasaan dalam pentadbiran kerajaan ketika ini.

Terbaru, isu itu sekali lagi mendapat perhatian pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila melantik ramai pemimpin parti menjadi pengerusi dan ahli lembaga pengarah dalam GLC.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, pelbagai maklum balas diterima daripada rakyat Malaysia.

Ada di antara mereka bersetuju ahli politik dilantik tetapi individu tersebut perlu benar-benar layak.

Seorang pekerja swasta, Mohd Nazirul Hisham, 32, berkata kerajaan perlu membersihkan GLC daripada campur tangan politik kerana pemilihan berdasarkan kelayakan, pendidikan dan merit untuk menerajui syarikat terbabit.

Katanya, jika jawatan itu dipegang oleh golongan politik, ia seolah-olah tidak sesuai kerana mereka tidak mempunyai latar belakang bidang syarikat tersebut.

“Pemilihan mereka juga dilihat tidak telus berikutan hanya melalui lantikan politik yang dikenali dan bukan melalui proses senarai pendek atau tapisan yang betul-betul bertauliah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang politik didakwa kuasai Mara

Artikel Berkaitan:

GLC bukan habuan orang politik

Seorang lagi pekerja swasta, Hakimi Mustaqim, 31 berkata, semua pihak harus cakna dengan objektif sebenar GLC selain memangkin kemajuan negara kerana ia akan berjaya tanpa campur tangan politik secara kasar.

“Saya sokong pemutihan campur tangan politik dalam GLC berpaksikan Dasar Penswastaan Negara oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tujuan dasar ini adalah untuk mengurangkan beban negara sekali gus meningkatkan kecekapan.

“Memandangkan ketika ini kita lihat situasi sudah tidak selari dengan perkembangan terkini dalam arena GLC negara,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran dan Jualan, Muhamad Ameer Asyraff, 27, berkata, campur tangan politik tidak seharusnya berlaku dalam GLC.

Bagaimanapun, katanya, ia masih berlaku disebabkan desakan orang berkepentingan dan perkara tersebut secara tidak langsung telah memberikan imej buruk kepada wajah GLC.

“Bukan sahaja integriti dan kebolehupayaan wakil kerajaan akan dipersoal malah turut mencerminkan monopoli dalam sesebuah pentadbiran kerajaan.

Pengerusi Koperasi Raja Samah Bhd, Raja Rusman Raja Samah, 64, pula berkata, sudah tiba masanya GLC diterajui dalam kalangan profesional yang berkelayakan memandangkan lantikan calon politik relatifnya tiada kepakaran menerajui sesebuah korporat yang memerlukan ketajaman pemikiran serta membuat keputusan.

“GLC perlu disandang individu yang berkemampuan dalam ilmu pengurusan sesebuah korporat,” katanya.