PKPD: 10 laluan alternatif ke Kuala Terengganu ditutup

Abdul Rahim memeriksa kebenaran rentas daerah seorang pemandu yang mahu ke Kuala Terengganu ketika membuat tinjauan di SJR Padang Midin pada Ahad.
Abdul Rahim memeriksa kebenaran rentas daerah seorang pemandu yang mahu ke Kuala Terengganu ketika membuat tinjauan di SJR Padang Midin pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Polis melaksanakan sembilan sekatan jalan raya (SJR) di laluan keluar masuk ke bandar raya ini bermula jam 12 malam Ahad susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, antara lokasi sekatan ialah di hadapan Balai Polis Chendering, Padang Midin, Jambatan Sultan Mahmud, Manir dan jambatan angkat atau Drawbridge.

Menurutnya, polis turut menutup 10 laluan alternatif ke Kuala Terengganu bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk orang ramai ke kawasan itu tanpa kebenaran pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan PKPD.

“Kita juga mengenal pasti beberapa laluan tikus lain dan jalan ini akan ditutup jika berlaku pergerakan keluar masuk luar biasa. Pasukan rondaan akan memantau laluan ditutup ini agar tiada sebarang pencerobohan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya pada Ahad.

Beliau turut memberi amaran supaya orang ramai tidak mengalih atau merosakkan halangan untuk merentas daerah secara haram kerana mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Abdul Rahim, seramai 150 pegawai dan anggota bertugas dalam tempoh PKPD bermula Ahad dan jumlah itu bertambah apabila tiba anggota bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya turut menggerakkan pasukan pematuhan ke kawasan tumpuan ramai seperti pasar raya, premis perniagaan dibenar beroperasi, taman perumahan dan kampung bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Katanya, polis juga mengadakan empat pusat pemeriksaan seperti di bulatan Ladang bagi mengurangkan pergerakan orang ramai ke pusat bandar.

Artikel Berkaitan:

“Checkpoint ini dilakukan supaya kita dapat melakukan pemeriksaan terhadap orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya keluar ke bandar. Mereka boleh membeli barang keperluan atau ambil duit berhampiran kawasan masing-masing saja.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah dan hanya seorang wakil keluarga yang keluar untuk beli barang keperluan harian. Polis akan ambil tindakan tegas kepada mereka yang langgar SOP PKPD dengan keluarkan kompaun,” katanya.

Sebanyak 21 mukim dalam daerah Kuala Terengganu, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad hingga 12 Jun bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ia melibatkan mukim Manir, Bukit Besar, Pengadang Buluh, Belara, Paloh, Kubang Parit, Serada, Rengas, Chendering, Bandar, Chabang Tiga, Kepong, Gelugur Kedai, Kuala Ibai, Atas Tol, Tok Jamal, Losong, Batu Buruk, Pekan Chabang Tiga, Pulau Pulau dan Gelugur Raja.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes yang amat ketara sepanjang Mei lepas iaitu 349 kes atau 370 peratus bagi tempoh dua minggu di semua lokaliti tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 21 mukim di Kuala Terengganu dikenakan PKPD bermula Ahad