11 laporan polis dibuat terhadap Iswardy Morni

Mujahidul Amri (depan, dua dari kiri) dan Md Jamil (depan, dua dari kanan) bersama wakil pemuda Bersatu, Gerakan, MIC dan NGO menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat ke atas Iswardy Morni pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Kuantan pada Ahad.
Mujahidul Amri (depan, dua dari kiri) dan Md Jamil (depan, dua dari kanan) bersama wakil pemuda Bersatu, Gerakan, MIC dan NGO menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat ke atas Iswardy Morni pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Solidariti Pemuda Pahang membuat laporan polis terhadap Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui satu rakaman video di laman YouTube miliknya.

Sebanyak 11 laporan polis dibuat Solidariti Pemuda Pahang yang terdiri wakil Pemuda Pas, UMNO, Bersatu, MIC dan Gerakan Pahang bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di Balai Polis Kuantan pada Ahad.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Pahang, Mujahidul Amri Roslan berkata, kenyataan Iswardy Morni sangat berniat jahat, menghina dan mencabar perlembagaan negara.

Menurutnya, penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai payung rakyat tidak sepatutnya berlaku.

"Malangnya hari ini kita sekali lagi melihat ada pihak cuba mengheret dan memperkotak-katikkan institusi raja sebagai modal politik yang keterlaluan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Kuantan, Md Jamil Pauzi dan Ketua Armada Indera Mahkota, Raden Mohd Nor Hafizan.

Mujahidul Amri berkata, semua pihak diminta supaya tidak mengheret institusi raja dalam berpolitik sehingga menimbulkan kemarahan rakyat negara ini.

Tambah beliau, laporan polis yang dibuat itu sebagai desakan kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap kebiadaban pemimpin Keadilan itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Md Jamil berkata, kenyataan biadab pemimpin itu yang mendakwa Seri Paduka Baginda tidak mengambil sebarang tindakan dalam menangani pandemik Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini tidak boleh diterima.

Menurutnya, Iswardy Morni wajar dikenakan tindakan lebih tegas di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Walaupun Iswardy Morni sudah ditahan, lebih banyak lagi laporan polis akan dibuat oleh NGO dan parti politik di negeri ini.

"UMNO dan Pas Pahang juga telah menggerakkan jentera pemuda di peringkat bahagian untuk membuat laporan polis dalam isu ini," katanya.