Dua beradik ditahan, dadah 4.46kg dirampas

Antara rampasan dadah yang ditemui dalam serbuan di rumah dua beradik disyaki pengedar dadah dekat Taman Keladi, Sungai Petani pada Sabtu.
Antara rampasan dadah yang ditemui dalam serbuan di rumah dua beradik disyaki pengedar dadah dekat Taman Keladi, Sungai Petani pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua beradik warga tempatan ditahan bersama dadah bernilai RM50,000 di rumah mereka dekat Taman Keladi di sini kira-kira jam 12 tengah hari pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, antara dirampas termasuk 18 peket kecil lut sinar berisi dadah jenis heroin anggaran berat 17.5 gram, satu peket plastik kecil lut sinar berisi dadah jenis heroin seberat 0.71 gram dan 10 peket plastik besar lut sinar berisi dadah jenis heroin anggaran berat 4.45 kilogram (kg).

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah seberat 4.469 kilogram yang bernilai kira-kira RM50,000 itu dianggarkan boleh digunakan untuk 11,100 orang.

"Dengan tertangkapnya dua beradik berusia 47 dan 44 tahun itu berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah heroin yang aktif sejak sebulan lalu," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Adzli, semakan mendapati suspek berusia 47 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah dan lima rekod narkotik manakala adiknya mempunyai dua rekod jenayah dan empat rekod narkotik.

"Dua beradik yang merupakan penagih tegar ini aktif mengedar dadah kepada pasaran tempatan sejak sebulan lalu.

"Kita syaki mereka berperanan sebagai penyimpan bekalan dadah dalam kuantiti banyak sebelum diserah kepada pengedar kecil-kecilan di sekitar bandar ini," katanya.

Menurutnya, mereka direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 30 Mei hingga 5 Jun 2021.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat lebih daripada 15 sebatan," katanya.