Buruh Pakistan ditahan lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak

Shafee Abd Samad
Shafee Abd Samad
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang buruh kontrak warga Pakistan ditahan selepas didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di sebuah rumah di Perai Jaya, di sini.

Suspek ditahan di rumah sewanya pada jam 12.30 tengah malam pada Ahad dan direman sehingga 5 Jun ini untuk siasatan lanjut.

Kejadian berlaku pada jam 2 petang, 27 Mei lalu ketika mangsa sedang bermain sendirian di taman permainan di kawasan perumahannya iaitu flat kos rendah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang ketakutan tidak memberitahu kepada sesiapa termasuk ahli keluarganya selepas kejadian tersebut.

Bagaimanapun katanya, mangsa telah menceritakan kejadian tersebut kepada bapanya pada jam 10 malam, Sabtu lalu dan bapa mangsa yang juga pembantu restoran membuat laporan polis.

"Selepas laporan dibuat, mangsa menunjukkan rumah suspek sebagai lokasi kejadian. Ketika polis tiba, suspek berada di rumah tersebut lalu mangsa mengakui suspek yang melakukan amang seksual terhadapnya.

"Suspek yang berusia 20 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. Semakan mendapati, suspek tiada rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Shafee berkata, mangsa sedang bermain seorang diri di taman permainan telah didukung seorang lelaki tidak dikenali ke sebuah rumah di perumahan terbabit.

"Suspek telah melakukan amang seksual terhadap mangsa sebanyak dua kali. Suspek turut mencium mulut mangsa secara paksa. Suspek telah mengarahkan mangsa pulang selepas kejadian.

"Menurut mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik, dia menjerit meminta tolong sepanjang kejadian tersebut namun tiada siapa yang mendengarnya," katanya.

Beliau berkata, kejadian berlaku di ruang tamu rumah sewa suspek dan ketika kejadian, tiada individu lain di rumah tersebut.

Jelasnya, siasatan mendapati, lokasi kejadian tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi awam yang melihatnya.