X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Kerajaan perlu nyatakan pelan persekolahan pasca 'lockdown'

Kenyataan Jawatakuasa Pendidikan PH pada Ahad.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta menyatakan pelan persekolahan pasca sekatan pergerakan atau 'lockdown' secara telus agar guru, ibu bapa dan pelajar dapat membuat persiapan lebih awal.

Jawatankuasa Pendidikan PH dalam kenyataan bersama berkata, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu telah pun tamat dan cuti sekolah selama dua minggu akan bermula.

Menurut mereka, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan 'total lockdown' selama dua minggu bermula Selasa ini.

“Jadi, apakah perancangan Kementerian Pendidikan selepas tamatnya sekatan pergerakan tersebut? Bilakah Kementerian Pendidikan akan mengumumkan rancangan seterusnya bagi sesi persekolahan yang akan datang?

“Adakah murid-murid akan kembali ke sekolah atau akan mengikuti kaedah PdPR? Atau apakah pelannya jika sekatan perjalanan dilanjutkan atau ditamatkan?

"Kita tidak mahu keputusan di saat terakhir seperti kelazimannya,” soal kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan bersama itu melibatkan Dr Maszlee Malik selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan; Nik Nazmi Nik Ahmad dan Natrah Ismail mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR); Teo Nie Ching dan Steven Sim Chee Keong (DAP) serta Datuk Dr Hasan Baharom (Parti Amanah Negara).

Menerusi kenyatan sama, jawatankuasa itu berkata, pihaknya sebelum ini banyak menerima aduan berhubung pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak berkesan serta membimbangkan ibu bapa dan warga sekolah.

“Ditambah pula dengan masalah-masalah lama yang masih belum selesai. Para guru dan pelajar masih dibelenggu dengan keadaan tiada peranti, capaian internet yang lemah dan suasana pembelajaran tidak kondusif.

“Selain itu, sukatan mata pelajaran yang direka untuk pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang tidak sesuai diadaptasi kepada PdPR, kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran atas talian, malah pelaksanaan TV Pendidikan yang tidak efektif,” kata mereka.

Mereka turut menggesa kerajaan supaya menyegerakan pemberian vaksin Covid-19 kepada semua guru dan bukan terhad kepada guru yang berusia dan berisiko sahaja.

“Kerajaan juga perlu memberikan insentif ‘one-off’ kepada guru yang telah menggunakan wang mereka sendiri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membeli data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian.

“Kemudian menyegerakan pemberian kesemua 150,000 komputer riba yang telah dijanjikan kepada murid-murid daripada keluarga B40.

“Jika kerajaan gagal berbuat demikian, ia akan memberi kesan buruk kepada lebih lima juta pelajar, bukan sahaja generasi kini bahkan generasi akan datang,” kata Jawatankuasa terbabit.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!