Covid-19: Kes di Kelantan meningkat, tiga lagi PKRC dibuka

Dr Azman (kanan) memeriksa kemudahan yang ada di PKRC Tanjong Chat, Kota Bharu pada Ahad.
Dr Azman (kanan) memeriksa kemudahan yang ada di PKRC Tanjong Chat, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai susulan peningkatan kes Covid-19 di Kelantan sehingga mencecah hampir 1,000 kes sehari ketika ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Azman Yacob berkata, lokasi tersebut dipilih kerana ia berhampiran Kota Bharu dan memudahkan urusan untuk menempatkan pesakit positif Covid-19.

"Sebagaimana kita maklum, ramai pesakit positif dari Kota Bharu dan PKRC sedia ada sudah penuh.

"Sesebuah PKRC yang mempunyai kapasiti sekitar 200 katil hanya mengambil masa 72 jam sahaja untuk penuh.

"Contohnya di PKRC Kampung Laut, Tumpat tidak sampai 48 jam 200 katil penuh dengan pesakit. Pada hari pertama sahaja seramai 140 pesakit ditempatkan di situ," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas lawatan ke PKRC Tanjong Chat di sini pada Ahad.

PKRC Tanjong Chat yang menempatkan 220 katil merupakan PKRC ke 12 daripada 14 yang akan dibuka di Kelantan disusuli dengan PKRC Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa.

Menurutnya, beberapa lokasi dikenal pasti dan lawatan tapak akan diadakan dalam masa terdekat untuk melihat keperluan asas yang perlu diubahsuai sebelum sesebuah PKRC dibina.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan sebuah dewan yang besar untuk memudahkan pemantauan dibuat dan berminat untuk mendapatkan lokasi seperti asrama sekolah, kolej atau Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Artikel Berkaitan:

Katanya, lokasi tersebut telah tersedia kemudahan asas seperti katil, tandas dan sebagainya.

Dr Azman berkata, PKRC sangat penting buat masa sekarang bagi mengelakkan mereka yang positif Covid-19 daripada melakukan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

"Bagaimanapun jika PKRC tidak mencukupi pesakit yang berusia muda, tidak mempunyai penyakit kronik dan berjanji untuk patuh arahan serta di rumahnya tidak mempunyai orang tua atau bayi boleh melakukan HSO.

"Tetapi bagi pesakit berusia 60 tahun ke atas kami tidak galakkan berada di rumah kerana mereka kebiasaannya akan mengalami sesak nafas dan sakit dada serta memerlukan pemerhatian lebih," katanya.

Beliau berkata, tujuan ditempatkan di PKRC adalah mengelakkan pesakit berada di tahap ke empat mahu pun ke lima yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi ICU kerana petugas kesihatan boleh memantau dari awal.