Chelsea layak dilabel pasukan terbaik dunia

Pemain Chelsea meraikan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara.
Pemain Chelsea meraikan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara.
A
A
A

CHELSEA layak dilabel sebagai pasukan terbaik dunia selepas menewaskan Manchester City 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Estadio do Dragao, Portugal pada awal pagi Ahad.

Pemain tengah Chelsea, Mason Mount berkata, The Blues sudah membuktikan kemampuan dengan memenangi kejuaraan terbesar Eropah sekali gus menobatkan pasukan itu sebagai antara pasukan terbaik di dunia.

"saya tidak boleh gambarkan dengan kata-kata perasaan ini. Ia sukar untuk dipercayai kerana sebelum ini kami mengharungi dua aksi final dalam kejohanan berbeza dan kami tewas kedua-duanya.

"Ia sangat menyakitkan dan saya menyimpan tekad untuk memastikan Chelsea menang piala. Untuk menang Liga Juara-Juara ia bukan mudah kerana kami perlu melepasi halangan beberapa pasukan gergasi.

"Namun, akhirnya kami berjaya menang di perlawanan akhir dan tiada siapa yang boleh menafikan bahawa Chelsea ketika ini adalah pasukan terbaik di dunia. Anda tidak boleh merampasnya daripada kami," katanya.

Dalam perlawanan itu, Mount melakukan bantuan gol dengan lorongan bola menarik untuk disudahkan Kai Haverts yang menjadi gol tunggal yang juga gol kemenangan Chelsea pada minit ke-42.

Ia sekali gus menyaksikan pasukan gergasi Inggeris itu merangkul trofi tersebut buat kali kedua selepas menjuarainya buat kali pertama pada 2012.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Mount mengakui Chelsea berdepan kesukaran untuk mempertahankan satu gol yang diperolehi mereka apabila City mengasak untuk mencari gol penyamaan terutama pada separuh masa kedua.

Artikel Berkaitan:

"Manchester City adalah sebuah pasukan yang bagus. Anda boleh lihat apa yang mereka lakukan di Liga Perdana Inggeris (EPL). Ia satu perlawanan yang sukar.

"Kami mendapat gol dan kami mempertahankan gol tersebut sepanjang perlawanan. Kami memberikan segalanya sehingga kami menang," katanya.