Tindakan tegas penceramah sebar dakyah songsang berkaitan vaksin

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan tegas akan diambil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terhadap pemegang tauliah termasuk imam masjid dan penceramah agama yang menyebarkan dakyah songsang berkaitan vaksin Covid-19 di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifli Abdul Rahman berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti individu yang menyebarkan dakyah sedemikian.

Beliau berkata, MAIK memandang serius perkara itu kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan orang ramai tidak mahu mengambil vaksin, sekali gus membahayakan masyarakat.

“Sekiranya dikenal pasti, MAIK akan memanggil imam dan pegawai masjid yang terlibat. Sekiranya terbukti, tindakan sewajarnya akan diambil sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V,” katanya kepada pemberita di lobi utama Pejabat MAIK, Lundang di sini pada Ahad.

Beliau sebelum itu menyerahkan sumbangan kelengkapan pelitup muka, pelindung muka serta makanan dan minuman bernilai RM10,000 kepada petugas barisan hadapan bagi kegunaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Apam Putra Lubok Jong, Pasir Mas kepada Ketua Jajahan Pasir Mas, Hazmi Abdul Hamid.

Zulkifli (tengah) menyerahkan sumbangan untuk petugas barisan hadapan bagi kegunaan PPV Dewan Apam Putra Lubok Jong, Pasir Mas kepada Hazmi (kiri) di Kota Bharu pada Ahad.
Zulkifli (tengah) menyerahkan sumbangan untuk petugas barisan hadapan bagi kegunaan PPV Dewan Apam Putra Lubok Jong, Pasir Mas kepada Hazmi (kiri) di Kota Bharu pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Sultan Muhammad V melarang sebarang penyampaian dan pengajaran kuliah bertentangan dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak Covid-19 serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

ARTIKEL BERKAITAN: MAIK larang kuliah bertentangan dasar kerajaan

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zulkifli berkata, MAIK akan bekerjasama rapat dengan ketua jajahan dan jabatan agama untuk mendapatkan maklumat dan melaporkan kesalahan tersebut kepada MAIK.

“Di setiap masjid ada petugas khas untuk kesan pelanggaran ceramah berkaitan vaksin dan SOP.

“Iman dan penceramah berperanan besar kepada masyarakat, oleh kerana itu ceramah yang bertentangan dibimbangi menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setakat ini seorang imam di Masjid Telipot di sini dan lima kakitangan MAIK disahkan positif Covid-19.