Bekas pengasuh ditahan susulan jenayah era Pinochet

Adriana Rivas ketika ditemuramah stesen SBS pada 2014. - FOTO SBS News
Adriana Rivas ketika ditemuramah stesen SBS pada 2014. - FOTO SBS News
A
A
A

SYDNEY - AUSTRALIA. Kerajaan Australia dilapor menahan seorang wanita warga emas yang tinggal di negara itu selama lebih tiga dekad, susulan permintaan ekstradisi oleh Chile berhubung tuduhan jenayah culik ketika era pemimpin diktator, Augusto Pinochet.

Adriana Rivas, seorang warga Chile berusia lingkungan 60 tahun, ditahan pada 2007 ketika pulang ke negara asalnya, namun berjaya melarikan diri semula ke Australia pada 2010 ketika dalam jaminan.

Sekitar tahun 70-an, Rivas dikatakan pernah bekerja di agensi perisikan Pinochet yang mengetuai ribuan pembunuhan, penyeksaan dan kehilangan secara misteri di negara Amerika Latin itu.

Menurut jurucakap Pejabat Peguam Negara Australia, Rivas menghadapi perintah ekstradisi oleh Chile ketika bekerja sebagai pengasuh dan tukang cuci sambilan di Bondi, Sydney.

Dalam satu temuramah bersama stesen penyiar Australia, SBS pada 2014, Rivas mengaku tidak bersalah namun tidak menolak dakwaan berlaku penyeksaan dan keganasan di Chile pada ketika itu.

Menurut penyelidik di Universiti Diego Portales di Chile, lebih 3,000 pembangkang rejim terbunuh atau hilang, sementara 40,000 yang lain diseksa ketika era pemerintahan diktator Pinochet. - AFP

Artikel Berkaitan: