Jangan nafi hak warganegara kerana tidak sama taraf: Zuraida

Zuraida
Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin akan membangkitkan kes berhubung kewarganegaraan seorang kanak-kanak lelaki tidak sah taraf yang gagal dalam kesnya di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu kepada menteri bertanggungjawab atau kabinet.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan kanak-kanak tersebut mendapat status kewarganegaraan secara pendaftaran mengikut Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya mengambil maklum berhubung keputusan majoriti panel hakim di Mahkamah Persekutuan semalam (Jumaat) bahawa seorang anak tidak sah taraf tidak layak mendapat kerakyatan walaupun bapanya merupakan warga Malaysia.

“Walaupun kami menghormati keputusan yang dibuat badan kehakiman dalam melaksanakan tugas perlembagaan mereka, saya perlu menyatakan tidak setuju dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel) berkata, kes-kes berkaitan status kerakyatan anak tidak sah taraf yang telah diputuskan sebelum ini juga sangat bertentangan dengan semangat keadilan dan belas ihsan.

Menurut Zuraida, tiada anak yang patut dinafikan hak kewarganegaraan atas dasar tidak sah taraf.

“Sudah tiba masanya untuk kita menamatkan kerosakan yang ditimpa kepada orang yang tidak bersalah ekoran peruntukan yang sudah ketinggalan zaman, iaitu Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan yang digunakan untuk penghakiman majoriti dalam kes tersebut.

“Justeru, saya komited ke arah pemansuhan atau pindaan perkara ini. Saya akan membangkitkannya dalam kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang bapanya warganegara Malaysia, manakala ibunya rakyat Filipina bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia dengan keputusan majoriti 4-3.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang menyampaikan keputusan mahkamah itu berkata, kanak-kanak tersebut tidak memenuhi kriteria yang diperlukan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk diisytiharkan sebagai warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.

Kanak-kanak itu dilahirkan di Filipina pada September 2010. Beberapa bulan kemudian, dia bersama kedua ibu bapanya ke Malaysia sebelum pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia pada Februari 2011.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak 10 tahun gagal dalam rayuan peroleh kerakyatan