Hadiah tak dapat, wang RM40,000 lebur

Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Teruja dengan hadiah dijanjikan, seorang gadis kerugian hampir RM40,000 ditipu kenalan di luar negara yang baru dikenali menerusi Instagram.

Mangsa berusia 19 tahun dijanjikan hadiah lumayan daripada seorang lelaki menggunakan nama Mohamad Haziq yang dikenalinya kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki itu mendakwa berasal dari Sabah dan kini menetap di London.

Beliau berkata, sejak berkenalan, mangsa berhubung dengan lelaki itu menggunakan WhatsApp.

"Pada Selasa minggu lalu, lelaki tersebut menghubungi mangsa memaklumkan mahu mengirim hadiah sebagai tanda perkenalan.

"Pada malam hari yang sama, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat kurier memberitahu bungkusan atas namanya telah disekat oleh pihak imigresen.

"Mangsa diminta untuk membuat bayaran bagi melepaskan bungkusan tersebut sebelum boleh menuntutnya," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Wazir berkata, akibat teruja dengan hadiah lumayan itu, mangsa sanggup membuat bayaran tersebut bagi memastikan barangan itu sampai ke tangannya.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa membuat bayaran secara berasingan melalui 13 akaun bank atas nama individu berbeza membabitkan jumlah bayaran keseluruhan hampir RM40,000.

"Malangnya selepas bayaran dibuat, mangsa tidak menerima hadiah yang dijanjikan dan mengesyaki telah ditipu," katanya.

Tambah beliau, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuantan di sini pada Sabtu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis sedang mengesan seramai 13 pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes tersebut termasuk dua wanita bagi membantu siasatan.