Kenal pasti 3 keperluan segera rakyat Palestin

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi
A
A
A

ISU Palestin sangat dekat di hati umat Islam di Malaysia.

Justeru apabila Masjid al-Aqsa diserang rejim Zionis dan rakyatnya ditindas Ramadan lalu, rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan berlumba-lumba menghulurkan bantuan.

Salah satu dana yang ditubuhkan khusus untuk tujuan itu ialah Aid4Palestine hasil usaha Pas, yang telah mengumpul RM16.8 juta setakat 24 Mei lalu.

Walaupun ia digerakkan oleh sebuah parti politik, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi, meminta supaya sentimen politik diketepikan dalam usaha untuk membantu perjuangan rakyat Palestin.

“Isu ini menuntut rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik,” kata anak sulung Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini.

Ikuti kupasan Muhammad Khalil yang juga Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine bersama wartawan Mohd Azlim Zainury.

SINAR AHAD: Boleh ceritakan bagaimana Aid4Palestine ini boleh tercetus?

MUHAMMAD KHALIL: Penubuhan Sekretariat A4P adalah inisiatif Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah hasil daripada perbincangan beliau dengan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Ini menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri dan Tuan Guru (Presiden Pas) terhadap isu yang begitu dekat dengan hati umat Islam ini walaupun kita masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19.

Penderitaan rakyat Palestin telah menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.
Penderitaan rakyat Palestin telah menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Sekretariat Aid4Palestine ini bertujuan menyelaras bantuan kepada saudara-saudara kita di Palestin khususnya di Gaza. Kita juga ingin menzahirkan rasa syukur atas kejayaan fasa pertama dalam misi menghantar bantuan kepada rakyat Palestin seperti yang dirancang sebelum ini.

Apa yang lebih menggembirakan kami, jumlah kutipan melebihi sasaran awal kami iaitu RM1 juta, alhamdulillah.

Untuk makluman, bagi fasa pertama yang bermula 15 Mei kempen Aid4Palestine telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM16.8 juta pada 24 Mei lalu dan hingga saat ini terus meningkat.

Jumlah ini merangkumi sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, parti politik, NGO dan masyarakat awam.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sumbangan terbesar yang diterima adalah daripada PasRelief, iaitu sebanyak RM12.1 juta.

Sekretariat Aid4Palestine ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh pihak yang membantu untuk menjayakan misi fasa pertama khususnya para penyumbang.

Kami memberi jaminan bahawa sumbangan ini 100 peratus akan disalurkan kepada rakyat Palestin, insyaALLAH.

Kami juga mengharapkan usaha ini dapat diteruskan dengan lebih hebat melalui sumbangan fasa kedua berakhir pada 30 Syawal.

Kejayaan fasa pertama ini membuktikan bahawa perjuangan Palestin ini telah menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Ini juga dapat dilihat melalui sumbangan yang telah diterima daripada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama bangsa mahupun kedudukan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sanggup melelong kereta Volvonya untuk dana Palestin.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sanggup melelong kereta Volvonya untuk dana Palestin.

Lebih menyentuh hati, usaha ini turut disokong sepenuhnya oleh rakyat dalam kalangan pekebun, penoreh, peniaga jalanan dan lain-lain yang mengerahkan segala kemampuan untuk menjayakan usaha ini.

Sekrefariat Aid4Palestine ingin memaklumkan bahawa sumbangan fasa pertama sudah mula disalurkan melalui Duta Aid4Palestine yang telah dilantik iaitu Saudara Nadir Al-Nuri dan Abu Ayesh An-Najar.

Tanpa gabungan banyak badan bukan kerajaan (NGO) disatukan di bawah satu bumbung, Aid4Palestine mungkin tidak mampu untuk mengumpul dana yang begitu besar dalam waktu singkat.

Bagaimana Sekretariat Aid4Palestine dapat membentuk kerjasama jitu dengan semua NGO terlibat?

Aid4Palestine adalah penyelaras kepada tiga NGO teras iaitu Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care dan Cakna Palestin. Kita mengalu-alukan agensi kerajaan, parti politik, NGI, syarikat dan individu untuk menyumbang.

Secara umumnya rakyat Malaysia sentiasa prihatin dan meletakkan kepercayaan kepada mana mana pihak untuk memperjuangkan isu Palestin bukan sahaja kepada Aid4Palestine.

Ada dakwaan mengatakan Pas sekadar mahu meraih manfaat politik daripada penderitaan rakyat Palestin. Apa komen saudara?

Dalam isu Palestin kita sewajarnya meletakkan sentimen politik di tepi. Isu ini menuntut rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik.

Pas sentiasa konsisten dalam perjuangan untuk membebaskan Palestin daripada Zionis Yahudi sama ada ketika menjadi pembangkang apatah lagi setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat pada hari ini.

Bahkan boleh dikatakan sejak sekian lama setiap kali muktamar tahunan Pas akan ada usul khas untuk isu perjuangan Palestin.

Bagaimana saudara dapat memastikan semua dana sumbangan rakyat Malaysia itu akan disalurkan dengan telus?

Seperti yang saya maklumkan, pihak sekretariat telah melantik Nadir Al-Nuri sebagai duta rasmi Aid4Palestine dan mendapat persetujuan daripada pejabat Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini kita yakin ia akan diurus dengan telus. Di samping itu, pihak Sekretatiat Aid4Palestine akan berusaha untuk menghantar wakilnya bagi melihat sendiri bantuan itu diagihkan.

Pada masa ini, apakah keperluan utama rakyat Palestin?

Kita mengenal pasti tiga keperluan utama kebajikan iaitu bantuan segera berbentuk makan minum dan keperluan harian lain bagi mereka yang hilang tempat tinggal. Kedua kesihatan dan ketiga adalah pendidikan.

Pada pandangan saudara, apakah yang boleh dilakukan oleh Pas untuk membantu Palestin pada masa depan?

Sokongan moral berterusan dan akan sentiasa mendesak kerajaan Malaysia supaya memainkan peranan yang lebih proaktif bagi membela rakyat Palestin dan pembebasan bumi Palestin.

Adapun dalam konteks gerakan Islam akan sentiasa bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan kesatuan negara-negara Islam untuk pembebasan bumi Palestin.

Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin ini?

Isu Palestin sangat dekat di hati rakyat Malaysia tanpa mengira anutan agama, bangsa dan kaum dan sudah tentu ia sangat menyentuh hati umat Islam apabila konflik terakhir yang berlaku ini ketika umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pada pandangan saudara, apakah penyelesaian tuntas terhadap penderitaan rakyat Palestin?

Kesatuan dunia Islam. Dunia Islam tidak boleh bergantung lagi dengan kuasa besar dunia khususnya Amerika Syarikat kerana mereka tidak ikhlas dalam menyelesaikan konflik Palestin.

Malaysia harus memainkan peranan bersama-sama negara Islam lain selain daripada forum OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), Inisiatif D8 dan KLSUMMIT wajar diperkasakan lagi.

Bagaimana mahu mendidik rakyat Malaysia supaya kita membantu rakyat Palestin tanpa bermusim?

Di peringkat Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa Pas Pusat telah membuat ketetapan untuk menjadikan minggu terakhir bulan Rejab sebagai minggu Al-Quds.

Ia bagi mendidik masyarakat agar mengingati dan prihatin dengan isu yang paling utama kepada umat Islam bersempena dengan sambutan Israk dan Mikraj yang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan bumi Palestin itu sendiri.

Menteri Besar Kedah sanggup lelong kereta Volvo, Timbalan Menteri Besar Kelantan pula lelong keris? Adakah ini bukti betapa dekatnya Palestin di hati rakyat Malaysia atau ia menggambarkan apa? Adakah ada individu lain yang begitu menyentuh hati saudara, boleh ceritakan?

Antara contoh yang menyentuh perasaan saya dalam isu Palestin ini antaranya ialah pelarian Rohingya di Marang Terengganu yang datang ke rumah saya membawa sumbangan yang dikutip sesama mereka.

Walhal keadaan mereka sendiri pun sangat daif yang rata-rata mencari besi buruk untuk dijual bagi menyara keluarga.

Selain itu, ada satu kisah seorang peniaga burger yang sanggup mengeluarkan duit simpanannya untuk disalurkan kepada saudara-saudara seIslam di Palestin khususnya Gaza.

Ada satu lagi kisah yang menyentuh hati saya iaitu keikhlasan seorang penduduk pendalaman di Baling, Kedah yang tidak teragak-agak untuk menjual kerbau peliharaannya dengan harga RM6,000 semata-mata untuk disalurkan kepada Palestin.

Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada 21 Mei lalu selepas 11 hari menyerang Palestin. Apakah Israel boleh dipercayai dan sejauh manakah gencatan senjata itu akan membawa keamanan kepada penduduk Palestin?

Apabila bermula sahaja gencatan senjata antara Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza dengan negara haram Israel setelah tentera rejim Zionis melakukan pengeboman berterusan selama 11 hari ke atas Semenanjung Gaza, ramai yang tertanya-tanya apakah regim Zionis Israel akan berhenti melakukan penindasan, kekejaman dan meluaskan lagi wilayah Palestin yang didudukinya.

Jawapan yang paling tepat sekali adalah tidak dan terbukti tidak sampai 24 jam berlangsungnya gencatan senjata, polis Israel sekali lagi menceroboh Masjid al-Aqsa dan menyerang serta menangkap penduduk Palestin yang berada di pekarangan masjid itu ketika berlangsungnya solat Jumaat.

Pungutan dana Aid4Palestine di seluruh negara jarang mengecewakan.
Pungutan dana Aid4Palestine di seluruh negara jarang mengecewakan.

Sehari selepas itu pula, berlakunya tangkapan besar-besaran ke atas pemuda Palestin di Tebing Barat pada waktu malam yang dipercayai ada kaitan dengan sokongan terhadap Hamas ketika berlangsungnya pertempuran selama 11 hari yang mengakibatkan kemusnahan besar dan korban jiwa yang tinggi ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Tidak hanya itu, pada hari Ahad berikutnya sekumpulan besar pendatang haram Yahudi dengan kawalan oleh polis Israel memasuki pekarangan Masjid al-Aqsa hingga mencetuskan insiden pertembungan yang mengakibatkan beberapa penduduk Palestin cedera ditembak oleh polis regim zionis Israel termasuk menangkap penduduk Palestin yang membantah tindakan pendatang haram Yahudi memasuki pekarangan Masjid al-Aqsa.

Jelaslah, selagi mana Palestin tidak dapat dijajah Zionis Israel keseluruhannya dan mengangkat Jerusalem iaitu Baitul Maqdis sebagai ibu negara haram mereka, selagi itulah mereka tidak akan berdiam diri dan membiarkan ia begitu sahaja.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken Selasa lalu memberitahu bahawa Washington akan menghulurkan bantuan baru bernilai AS$75 juta untuk membantu membangunkan semula Gaza. Apakah muslihat AS sebenarnya, biarkan Israel musnahkan Palestin kemudian beri bantuan?

Apa komen saudara?Amerika Syarikat telah gagal untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan konflik Palestin Israel kerana sentiasa bersikap double standard sejak dahulu lagi.

“Move forward” dalam penyelesaian ini ialah melalui dunia Islam sendiri yang mesti lebih tegas dan proaktif. Desakan dari beberapa buah negara Islam seperti Turki dan Pakistan wajar disokong iaitu menghantar tentera pengaman dari negara Islam di sempadan antara Gaza dan Israel.

BIODATA

Muhammad Khalil Abdul Hadi

Dilahirkan pada 20 Mac 1977 di Marang, Terengganu

Merupakan anak sulung daripada 14 adik-beradik

Bapa beliau ialah Presiden Pas ketujuh, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Melanjutkan pengajian thanawi Al-Azhar di Karachi, Pakistan

Beliau merupakan lulusan Universiti Al-Iman, Yemen dan mempunyai Sarjana Muda Pengajian Islam dan Syariah

Turut menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Islam dari Universiti Portsmouth, United Kingdom

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat

Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine