Orang politik didakwa kuasai Mara

Mara merupakan salah sebuah agensi terbesar milik kerajaan dengan rizab sehingga melebihi RM2 bilion.
Mara merupakan salah sebuah agensi terbesar milik kerajaan dengan rizab sehingga melebihi RM2 bilion.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan individu yang sama sebagai anggota lembaga pengarah anak-anak syarikat dan subsidiari sebuah agensi kerajaan kini mencetuskan tanda tanya dan keresahan dalam kalangan kakitangan dan pengurusannya terutama sekali apabila dua daripada individu tersebut kelihatan rapat dengan menteri yang bertanggungjawab ke atas agensi tersebut.

Agensi itu, Majlis Amanah Rakyat atau Mara merupakan salah sebuah agensi terbesar milik kerajaan dengan rizab sehingga melebihi RM2 bilion.

Ini belum diambil kira aset-aset Mara yang bernilai lebih daripada itu.

Dua individu yang dimaksudkan itu ialah ahli politik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Suhaili Abdul Rahman dan seorang usahawan yang diketahui rapat dengan orang politik iaitu Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin.

“Tidak menjadi satu kesalahan dari aspek perundangan untuk melantik mereka ke dalam mana-mana anak syarikat atau subsidiari Mara tapi yang menjadi keresahan ramai ialah mengapa hanya mereka?

“Daripada kalangan 32.75 juta rakyat Malaysia, apakah tidak ada lain-lain individu korporat atau usahawan yang berkelayakan dan berpengalaman untuk dilantik menduduki kerusi lembaga pengarah?

“Mara memerlukan input dan nasihat daripada lebih ramai anak Melayu yang berkelayakan dan berpengalaman bukan sekadar dua individu ini sahaja,” kata seorang bekas kakitangan pengurusan kanan Mara yang mengetahui mengenai selok belok perjalanan agensi itu kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: GLC bukan habuan orang politik

Artikel Berkaitan:

Beliau yang pernah berkhidmat lebih 28 tahun bersama Mara di peringkat pengurusan kanan termasuk di negeri dan anak-anak syarikat menambah, setahunya belum pernah berlaku dalam sejarah Mara, individu luar yang sama dilantik untuk menduduki kerusi pengarah sehingga tujuh atau lapan anak syarikat dan subsidiari.

Hasil penelitian dan dokumen yang disaksikan oleh Sinar Harian juga mendapati, terdapat Ahli Majlis Mara yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Pelaburan Mara yang menjadi anggota lembaga pengarah dalam anak syarikat.

Adalah difahamkan Penasihat Undang-Undang Mara telah menegur tentang isu konflik dan kesukaran untuk beliau memainkan peranan semak dan imbang (check and balance) sekiranya turut dilantik sebagai anggota lembaga.

“Ini seperti wujudnya konflik kepentingan kerana individu yang sama menjadi pengerusi dalam Jawatankuasa Pelaburan Mara dan pada masa yang sama dilantik pula menjadi lembaga dalam anak-anak syarikat yang dikawal selia oleh jawatankuasa ini,” ujar sumber tersebut.

Jadi katanya, di manakah letaknya kaedah semak dan imbang dan persoalan tentang tadbir urus korporat yang baik jika orang yang sama menjadi pengerusi dan pengarah anak-anak syarikat apatah lagi Mara itu adalah sebuah agensi amanah.

Muka depan Sinar Harian pada Ahad.
Muka depan Sinar Harian pada Ahad.

Salah satu objektif penubuhan Mara Corporation Sdn Bhd misalnya, kata sumber itu ialah sebagai sebuah syarikat pelaburan induk Mara yang sepatutnya memperkasakan amalan tadbir urus korporat yang terbaik di seluruh kumpulan syarikat Mara.

Bagaimanapun dengan perkembangan yang berlaku, objektif untuk memperkasakan amalan tadbir urus yang baik itu boleh dipertikaikan.

Suhaili, yang juga Ketua Bersatu Labuan menurut rekod terkini dan surat arahan lantikan daripada Menteri, menguasai lapan anak syarikat Mara termasuk sebagai pengarah eksekutif Mara Corp Sdn Bhd.

Di bawah Mara Corp Sdn Bhd di mana beliau ialah pengarah eksekutifnya, Suhaili turut menduduki kerusi lembaga pengarah di empat anak syarikat iaitu Pelaburan Mara Berhad; PMB Tijari Berhad; Mara Incorporated Sdn Bhd dan Glocal Link (M) Sdn Bhd.

Di luar lingkaran Mara Corp, Suhaili juga bakal dilantik sebagai ahli lembaga pengarah beberapa anak syarikat langsung Mara iaitu Kolej Polytech Mara Sdn Bhd (KPTM), Med Bumikar Mara Sdn Bhd (MBM) dan Universiti Teknikal Mara Sdn Bhd (UniKL).

Individu kedua yang dilantik menduduki begitu banyak anak syarikat dan subsidiari Mara ialah Megat Shahriman.

Beliau juga ialah Ahli Lembaga Pengarah Mara Corp Sdn Bhd dan turut dilantik sebagai anggota pengarah tiga anak syarikat Mara Corp iaitu Pelaburan Mara Bhd, Mara Incorporated Sdn Bhd dan Glocal Link (M) Sdn Bhd.

Di luar Mara Corp Sdn Bhd ini, Megat Shahriman adalah juga ahli lembaga Mara Excellent Ventures Sdn Bhd dan bakal dilantik ahli lembaga Kolej Polytech Mara Sdn Bhd dan Universiti Teknikal Mara Sdn Bhd.

Kawalan secara langsung kedua-dua individu luar ini melalui keahlian dalam lembaga-lembaga pengarah Mara dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Mara sebelum ini.

Dan setiap ahli lembaga pengarah anak-anak syarikat Mara ini menerima elaun bulanan dan elaun kehadiran mesyuarat.

Yang terbaru dan kini dalam proses ialah arahan menteri untuk melantik kedua-dua mereka ke dalam Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai anggota lembaga pengarah.

Universiti Kuala Lumpur adalah institusi pengajian tinggi milik penuh Mara yang diwujudkan selepas Universiti Teknologi Mara yang dahulunya dikenali sebagai ITM diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sebagai universiti awam.

No Image Caption

Sinar Harian difahamkan, pelantikan mereka sebagai anggota lembaga UniKL akan disahkan oleh Majlis Mara minggu hadapan.

Menurut peraturan, pelantikan mereka perlu terlebih dahulu mendapat restu dan kelulusan Menteri Pengajian Tinggi sebagai pengawal selia tetapi sama ada ia telah pun diperolehi tidak dapat disahkan oleh Sinar Harian.

Sama ada ia dapat diteruskan oleh Majlis Mara terlebih dahulu sementara mendapat kelulusan daripada Menteri Pengajian Tinggi adalah sesuatu yang menarik untuk dilihat.

Meresahkan rakyat

Di waktu setiap keputusan kerajaan Perikatan Nasional terutama daripada Bersatu diperhati oleh rakyat, orang politik dan ahli perniagaan berkepentingan politik masih dilantik dalam syarikat milik kerajaan dan perilaku itu berisiko menambah keresahan rakyat seperti lantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam Prasarana yang menimbulkan pelbagai kontroversi baru-baru ini.

Apatah lagi seperti yang ditimbulkan oleh sumber Sinar Harian, Mara sebagai agensi amanah rakyat perlu mengamalkan tadbir urus korporat dan amalan integriti yang baik dan mengelakkan perkara seperti pelantikan yang boleh menimbulkan kontroversi dan menjurus Mara ke arah reputasi buruk yang boleh mengundang kemarahan rakyat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dalam ucapan sempena Program Keunggulan Mara pada 1 April lalu telah menekankan Mara harus mengambil perhatian penuh dalam memperkasakan profesionalisme dan integriti pekerja yang menjadi identiti penting buat organisasi tersebut.