‘Rakyat perlu berani tolak rasuah’

Rakyat perlu terus diberikan semangat dan keberanian untuk menolak budaya rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan komuniti. Gambar kecil: Aswanuddin
Rakyat perlu terus diberikan semangat dan keberanian untuk menolak budaya rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan komuniti. Gambar kecil: Aswanuddin
A
A
A

IPOH - Rakyat perlu terus diberikan semangat dan keberanian untuk menolak budaya rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan komuniti.

Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, kini tahap kesedaran masyarakat dalam kalangan generasi muda terhadap budaya menolak rasuah amat tinggi.

Menurutnya, golongan itu secara lantang menyuarakan pandangan sekiranya perkara yang dilihat itu janggal atau tidak betul berkaitan rasuah serta salah guna kuasa.

“Golongan belia dan mahasiswa amat teruja untuk bercakap dalam forum-forum yang diadakan sama ada secara fizikal mahupun melalui media sosial.

“Rasuah bukan sahaja boleh memberi kesan yang amat besar kepada imej negara, malah ia berupaya merosakkan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Tegasnya, tempoh pandemik Covid-19 juga perlu dijadikan pencetus ke arah masyarakat yang lebih berintegriti.

Menurutnya, ketelusan dalam proses penyaluran bantuan kepada mereka yang terkesan perlu dipantau oleh pihak berwajib untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.

“Dalam tempoh pandemik ini, kita risau sebenarnya daripada aspek tahap ketelusan perolehan dan proses penyaluran bantuan oleh pihak berwajib. Adakah ia ikut prosedur kewangan yang sepatutnya dan adakah bantuan itu sampai kepada golongan sasar?” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Selain menjadi mata dan telinga pihak Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YARM Perak juga merupakan lidah rakyat dengan menyampaikan isu untuk dipantau suruhanjaya tersebut.