Harimau Malaya harus bijak kawal emosi di tengah padang

Antara aksi pertemuan Harimau Malaya menentang Bahrain dalam aksi persahabatan berstatus A di Stadium Nasional Bahrain pada awal pagi Sabtu. - Foto Football Association of Malaysia
Antara aksi pertemuan Harimau Malaya menentang Bahrain dalam aksi persahabatan berstatus A di Stadium Nasional Bahrain pada awal pagi Sabtu. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya lebih bijak mengawal emosi dalam mengharungi baki Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Cheng Hoe, sekiranya perkara itu tidak diatasi dengan segera, ia mampu menjejaskan momentum Harimau Malaya dalam pertemuan menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada baki tiga perlawanan Kumpulan G kempen kelayakan tersebut.

“Saya amat berharap supaya pemain-pemain dapat mengawal emosi masing-masing kerana kita tahu bukan mudah apabila beraksi di tempat lawan.

“Disebabkan gol itu, kita agak emosi, tapi itulah bola sepak dan kita kena kawal emosi supaya tidak hilang fokus dalam perlawanan apabila tidak berpuas hati keputusan pengadil,” katanya.

Cheng Hoe berkata demikian sejurus kekalahan 0-2 Harimau Malaya kepada Bahrain dalam aksi persahabatan berstatus A di Stadium Nasional Bahrain pada awal pagi Sabtu.

Dalam aksi tersebut, kedua-dua gol Bahrain yang terhasil pada setiap babak itu berpunca daripada kesilapan pemain Harimau Malaya.

Bahrain memperoleh gol pembukaan menerusi sepakan penalti Mahdi Abduljabbar pada minit ke-41 - akibat tindakan pemain pertahanan, Irfan Zakaria menarik pemain berusia 29 tahun itu dalam kotak penalti.

Gawang Harimau Malaya sekali lagi bolos apabila tampanan kurang kemas penjaga gol, Farizal Marlias pada minit ke-61 hasil bola tolakan ke belakang Liridon Krasniqi mudah disudahkan penyerang berbisa Bahrain, Jassim Marhoon.

Artikel Berkaitan:

Selain dua kesilapan mudah yang dilakukan, insiden layangan kad merah yang diterima pemain sayap lincah, Safawi Rasid turut menjadi tumpuan sepanjang aksi tersebut.

“Pada babak pertama, ada satu dua peluang untuk menjaringkan gol (tetapi) tidak diterjemahkan dalam bentuk jaringan... itulah yang menjejaskan keyakinan dalam kalangan pemain.

“Gol penalti dan kesilapan individu dalam perlawanan ini juga menyebabkan rentak kita agak terganggu. Jadi saya harap pemain dapat mempelajari sesuatu dalam perlawanan ini dan memperbaiki kelemahan mereka,” ujarnya.