Covid-19 buru kanak-kanak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GELOMBANG ketiga pandemik Covid-19 semakin mengganas dan tersebar cepat susulan kewujudan varian terbaharu yang kini dipercayai 'memburu’ golongan kanak-kanak dan bayi di Malaysia.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mendedahkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terkini bahawa seramai 48,261 kanak-kanak dan bayi telah dijangkiti Covid-19 setakat 25 Mei lalu di seluruh negara.

Malangnya, daripada angka besar itu, seramai 6,290 orang kanak-kanak berumur 18 bulan ke bawah.

Data KKM itu turut menunjukkan sepanjang tahun 2020, hanya 8,369 kes dilaporkan melibatkan kanak-kanak berbanding tahun ini sudah mencecah hingga lima angka.

Menurut kolum lidah pengarang akhbar harian Makkal Osai, perkongsian pihak kerajaan mengenai nasib malang yang menimpa golongan kanak-kanak amat mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.

Pembongkaran data itu memberi amaran dan peringatan kepada ibu bapa dan penjaga pentingnya menjaga anak masing-masing daripada menjadi mangsa Covid-19.

Sejurus memperoleh data KKM itu, pihak kementerian dan kerajaan segera mengambil langkah pencegahan dengan mengarahkan semua pejabat kesihatan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 di semua sekolah di Malaysia.

Bukan itu sahaja, pihak pengurusan sekolah juga diminta melarang mana-mana murid mempunyai simptom atau menghidap masalah kesihatan seperti demam, batuk dan sakit tekak supaya tidak hadir ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

Menurut Makkal Osai, jumlah kanak-kanak yang terjejas akibat jangkitan Covid-19 cukup besar, ironinya pihak mana wajar dipersalahkan atas kelekaan itu sama ada ibu bapa, penjaga, sekolah ataupun kerajaan.

Siapa yang sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap musibah menimpa kanak-kanak yang bakal menjadi barisan pelapis negara?

Akhbar harian itu menyatakan bahawa sebelum ini apabila pihak kerajaan membuat keputusan untuk membuka semula sekolah, ibu bapa, penjaga dan pelbagai pihak tampil menyuarakan kebimbangan serta pandangan agar tidak terburu-buru, sebaliknya bersabar lantaran tindakan itu melibatkan nyawa serta kehidupan golongan kanak-kanak.

Bagaimanapun, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan dan meminta ibu bapa serta penjaga usah takut dan menghantar anak mereka ke sekolah.

Jelas Makkal Osai lagi, walaupun Januari lalu, seramai 23,000 murid telah dijangkiti Covid-19, pihak kementerian bersikap yakin dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dapat menguruskan operasi sekolah di bawah norma baharu.

Nasi sudah menjadi bubur. Keadaan yang ditakuti semua pihak telah pun menjadi realiti apabila kanak-kanak semakin berisiko tinggi menjadi mangsa jangkitan Covid-19.

Justeru, daripada menuding jari dan mencari kesilapan, adalah lebih bijak mengambil inisiatif untuk membendung penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 berjalan lancar. Kerajaan menjalankan kempen menggalakkan orang ramai mengambil suntikan vaksin.

Jadi, ibu bapa, penjaga dan kumpulan pendidik wajib merelakan diri untuk menyertai program berkenaan.

Oleh sebab, kanak-kanak bukan kumpulan sasaran untuk program tersebut dan tiada suntikan vaksin diberi, menjadi tanggungjawab orang dewasa melindungi anak-anak kecil tersebut. Risiko besar yang dihadapi kanak-kanak itu hanya dapat ditangani jika warga dewasa mematuhi SOP dan pada masa sama bersedia mengambil suntikan vaksin.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor