Itulah yang dinamakan suratan takdir...

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

INSIDEN yang melibatkan ‘pertembungan’ antara dua buah tren Aliran Transit Ringan atau LRT di terowong bawah tanah tempoh hari menjadi pengajaran yang amat berguna dan bermakna kepada semua.

Malah, ekoran insiden tersebut, Prasarana Malaysia Bhd iaitu pemilik sistem transit aliran ringan negara telah kehilangan pengerusinya.

Pengerusi itu ditamatkan perkhidmatannya bukan kerana kemalangan berkenaan tetapi kerana cara beliau mengendalikan sidang akhbar berhubung kemalangan tersebut.

Beliau nak jelaskan perkembangan terkini yang Prasarana hendak ambil seperti pembayaran pampasan dan sebagainya tetapi sikap ‘sombong’ yang ditunjukkan ketika menjawab soalan para wartawan termasuk mentertawakan soalan media telah menyebabkan dirinya terkorban.

Selepas cara dia mengendalikan media menjadi tular di media-media sosial, wujud pula gerakan mengutip tandatangan secara dalam talian mendesak supaya dia meletakkan jawatan.

Tapi dia terlebih dahulu dilucutkan jawatan tanpa perlu meletakkan jawatan.

Sepatutnya orang yang bertanggungjawab cuai sehingga membawa kepada kemalangan itu yang dihukum tetapi sebaliknya yang mendapat hukuman dahulu ialah bos paling besar iaitu Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Rahman.

Itulah yang dinamakan suratan takdir. Manusia hanya merancang, yang menentukan segala-galanya ialah Tuhan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Belalang juga setuju dengan saranan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana, Datuk Ridza Abdoh Salleh.

Ridza, yang diketahui sebagai orang yang bertanggungjawab membangunkan protokol keselamatan kereta api dan melatih staf Prasarana ketika sistem LRT mula-mula beroperasi pada 1998, menyifatkan kesilapan manusia sebagai satu perkara yang fundamental.

Katanya, kemalangan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana prosedur operasi standard (SOP) sudah pun wujud dan diguna pakai sejak 1998.

“Kecuaian dan apa juga kesilapan yang telah berlaku adalah sesuatu yang sangat fundamental dan tidak sepatutnya berlaku kerana operator sistem LRT ini telah mengendalikannya selama lebih 20 tahun,” ujarnya seperti yang dipetik oleh akhbar The Star baru-baru ini.

Sebab itulah, tegasnya, pengurusan Prasarana mesti melihat insiden itu secara serius demi nama baik organisasi dan juga keselamatan awam.

Kemalangan itu yang pertama kali seumpamanya berlaku dalam sejarah LRT negara kita telah mencederakan 166 penumpang, manakala 47 orang lagi parah.

Belalang - Sentiasa berdoa agar dihindarkan dari segala malapetaka akibat kecuaian diri...