X

Kindly register in order to view this article
!

Membuka pintu falsafah sastera

Dari kiri: Baha Zain,Muhammad Salleh, Keris Mas
A
A
SEBUAH subjek yang jarang dibicarakan ialah hubungan sastera dengan falsafah.

Tidak banyak tulisan atau kajian yang mewacanakan kedudukan sastera dalam pandangan falsafah.

Perbicaraan di sekitar pencapaian karya sastera dalam konteks falsafah, juga kurang dibahaskan.

Pertemuan dan seminar yang diadakan, hanya tertumpu kepada analisis aspek pemikiran.

Penerima Anugerah Sastera Negara, lazimnya akan diikuti dengan seminar yang membicarakan tentang aspek pemikiran

Tiada ditemui kolokium, simposium, koferensi atau kongres membahaskan falsafah kesusasteraan atau pengkaryaan.

Tidak dinafikan, pemikiran juga membicarakan aspek idea, ideologi dan idealisme pengarang tetapi kedudukannya adalah setingkat lagi untuk menaiki taraf falsafah.

Apakah pencapaian sasterawan kita belum sampai ke peringkat falsafah?

Jacqeus Deridda pernah mengkaji falsafah Shakespeare dan berkata, “kekuatan dramatis tragedi dan komedi itu adalah pada falsafah Baratnya yang mendalam.”

Pak Hamka pula pernah berkata, “seorang pengarang besar itu, di belakangnya tersembunyi sebuah falsafah.”

Keris Mas mencapai taraf sebagai pengarang unggul kerana di belakangnya tersimpul sebuah perjuangan idealisme bangsa.

Jalaluddin Rumi dikagumi kerana karyanya yang mengandung falsafah, dengan daya intelektualnya yang tinggi membicarakan tentang kekuatan manusia.

Memang disedari, amat sulit untuk mencari falsafah pengarang, pengkaji harus menelusuri ke setiap teksnya, menyusuri secara komprehensif, tidak memadai hanya membaca karya pilihan atau secara serpehan, apa lagi mengetepikan sebahagian.

Karya berfalsafah memiliki dasar dan akar persoalan, yang menghimpunkan sensibiliti dan pandangan hidup dengan wacananya yang serius. Subjek pertentangan nilai, sifat keberadaan, pembentukan budaya dan membina nusa, bangsa dan agama, adalah rangakaian yang berpusat kepada falsafah.

Persamaan

Justeru itu, wujudnya persamaan tugas pengarang dengan ahli filosuf, yang berhadapan dengan sesebuah hipotesis, untuk berusaha memecahkannya bagi mendapatkan resolusinya.

Separuh daripada hampir 100 orang ahli filosuf dunia, semenjak zaman Greek hingga ke zaman pascamoden ini, adalah sasterawan dan para teoris sastera. Ertinya 50 peratus ahli filosuf, terdiri daripada kalangan sasterawan dan pengkaji sastera. Filosuf lainnya terdiri daripada pemikir politik, ekonomi, pendidikan, etika, sosial, kebudayaan dan sebagainya.

Ini menunjukkan bahawa mereka yang terlibat dengan dunia sastera, menjadi dominan dalam bidang pemikiran, epistemologi dan falsafah.

Malah dalam zaman Greek, dominasi dunia falsafah berada hampir sepenuhnya di tangan para pengarang dan pengkaji, seperti Homer, Sophocles, Aristhopanis, Theocritus, Callimachus dan Zachlos.

Mereka membahaskan subjek determinisme, untuk mencari arah tujuan hidup dan memberi jawapan terhadap persoalan dasar kehidupan. Dalam konteks ini, pengarang mempunyai daya taakulan dan kognitif yang tinggi, berkuasa mempengaruhi jiwa masyarakat.

Bukan sahaja terkenal sebagai ilmuwan, pemikir dan cendekia, pengarang juga ibarat sebuah kamus yang hidup.

Gagasannya bernas dan berhikmah, bahkan malar untuk sepanjang zaman.

Kemampuanya dapat menghidu dan menanggap permasalahan utama masyarakat, dan mensiratkan tujuan dan motif karyanya, sambil menyembunyikan dan menidurkan falsafahnya.

Hal ini dibenarkan oleh sejarah, sasterawan seperti Henrik Ibsen, Albert Camus, Ernest Hemingway, Fyodor Dostoevsky, Jalaluddin Rumi, Samuel Tylor, Imam al-Ghazali, Fariduddin Attar, Tun Sri Lanang, Rabindranath Tagore, Muhammad Iqbal dan Usman Awang adalah orang yang bijak laksana; mereka memiliki ketajaman pemikiran yang menjejaki falsafah.

Sejak dari zaman awal berkarya, pengarang haruslah dibiasakan berfikir dan bertaakul.

Menguasai dunia yang luas, dihalusi oleh gaya berhujah yang sistematis dan kuasa berdialektikal yang mantap.

Jalur kreativitinya mengangkatnya menjadi seorang pemikir. Selangkah demi selangkah, segalanya akan mencair dan akhirnya, kakinya akan berpijak pada lantai falsafah.

Penyatuan

Karya sastera dapat dikesan falsafahnya dari aspek aspirasi, motivasi dan dorongan pengarang.

Contohnya, menjadikan azimat dalam memperjuangkan penyatuan ummah dan pemartabatan negara, boleh dikategorikan sebagai aspirasi berunsurkan falsafah.

Meninggalkan tujuan komersial, melonggarkan untuk nama dan kemasyhuran serta tidak meletakkan populariti di hadapan, adalah sebagai dorongan berbentuk falsafah.

Selain pengarang, para pengkaji, pengkritik dan penteori sastera juga bekerja di dunia kefalsafahan sastera.

Di Barat, pencipta teori diklasifikasikan sebagai ahli falsafah. Teori tidak akan tertempa tanpa melalui proses pencarian fenomena, membina kriteria penilaian dan mengemukakan prinsip pengadilan.

Dengan menggerakkan minda, memerah keringat, melakukan penyelidikan, membentuk formulasi, kemudian menetapkan definisi, konsep dan prinsip sasteranya, barulah teori sastera dapat dibangunkan.

Kita mempunyai sebarisan ahli pemikir dan filosuf sastera, seperti Abdullah Munshi, Za’aba, Syed Muhammad Naguib al-Attas, Muhammad Haji Salleh, Ismail Hussein, Baha Zain, Hashim Awang, Mohd Mokhtar Hassan dan Shahnon Ahmad.

Mereka melakukan penyelidikan, meneroka ke pelbagai perspektif sastera, dan menyimpulkan rumusan untuk mentakhtakan kedaulatan sastera Melayu di mata dunia.

Malah, keseluruhan pengarang pun sebenarnya, terlibat dalam dunia falsafah ini.

Semua karya sajak, cerpen, novel dan drama di dalamnya terdapat unsur falsafah.

Dengan melakukan pengukuhan dan pemantapan terhadap unsur falsafah itu, ia akan menjitu dan dapat dimatangkan.

Sesungguhnya falsafah itu adalah salah sebuah indeksikal pencapaian dalam bersastera.

Bersikap nihil dalam konteks falsafah ini, kita mengabaikan suatu dimensi penting dalam pembinaan tamadun sastera negara.

Untuk memeriksa diri dan menentukan kedudukan sastera, kita wajar membuka pintu falsafah.

Antara inisiatifnya menganjurkan seminar atau kolokium, seperti wacana Falsafah Sasterawan Negara atau para pengarang mapan lainnya.

Sastera yang besar, segar dan malar menjadikan falsafah sebagai ibu kandungnya.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!