Selesaikan konflik di Myanmar

A
A
A

KETIKA dunia memberi tumpuan kepada penindasan dialami penduduk Palestin, politik di Myanmar terus bergolak.

Antara isu terkini di Myanmar, pada 24 Mei lalu, pemimpin-pemimpin kerajaan yang telah diguling tentera Myanmar (Tatmadaw) seperti bekas Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi; bekas Presiden, Win Myint dan Dr Myo Aung, ahli Parlimen bagi Amyotha Hluttaw di negeri Kayin telah dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas kesalahan memiliki peralatan komunikasi yang diharamkan serta terlibat dalam penipuan ketika pilihan raya umum.

Mesyuarat Khas ASEAN mengenai Myanmar telah diadakan pada 24 April, lebih sebulan lalu.

Persoalannya, sejauh mana Mesyuarat Khas ASEAN benar-benar mampu memberi impak kepada pergolakan politik di Myanmar?

Kehadiran ketua-ketua kerajaan sendiri menunjukkan betapa seriusnya isu Myanmar bagi negara anggota ASEAN.

Mereka sedar masyarakat antarabangsa, khasnya negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara anggota Kesatuan Eropah sedang memerhati sejauh mana reaksi ASEAN dalam isu Myanmar.

Sejajar dengan ‘ASEAN Way’ iaitu dasar tidak campur tangan dalam isu dalaman negara ahli dan konsep kata sepakat atau consensus lima perkara telah dipertujui.

Pertama, segala bentuk keganasan di Myanmar harus dihentikan segera.

Artikel Berkaitan:

Kedua, pihak bertelagah perlu mencari penyelesaian damai untuk menamatkan krisis melalui ‘dialog konstruktif’.

Ketiga, Brunei selaku Pengerusi ASEAN tahun ini akan melantik Perutusan Khas untuk menjadi orang tengah dalam krisis Myanmar.

Keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan kepada negara berkenaan dan kelima, Perutusan Khas ASEAN akan pergi ke Myanmar untuk bertemu semua pihak dalam krisis.

Mungkin ada yang menganggap dengan kehadiran Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dalam Mesyuarat Khas, beliau tidak membantah lima perkara dicadangkan menandakan kejayaan ASEAN untuk ‘menjinakkan’ kemaraan Tatmadaw.

Namun, masih terlalu awal untuk menyambut ‘kejayaan ASEAN’ kerana ada beberapa cabaran utama perlu ditempuhi, antaranya adalah mustahil untuk Tatmadaw menghentikan pembunuhan dan penangkapan penunjuk perasaan.

Malah, berita terkini melaporkan penangkapan pemberita dalam dan luar negara, tragedi letupan bom di beberapa bandar utama di Myanmar, serangan ke atas penunjuk perasaan yang berlindung di tempat ibadat kaum minoriti seperti masjid dan gereja terus berlaku.

Selain itu, persetujuan kedua iaitu penyelesaian damai melalui dialog konstruktif antara NLD dan Tatmadaw sukar dicapai kerana objektif utama rampasan kuasa adalah untuk menggulingkan pemerintahan Suu Kyi.

Jika masyarakat antarabangsa menyangka dalam masa terdekat Tatmadaw akan mengadakan rundingan dengan Suu Kyi dan kembali kepada keadaan pra-rampasan kuasa, ia impian sahaja.

Malah, ada kemungkinan Tatmadaw akan menjatuhkan hukuman buang negeri kepada Suu Kyi agar beliau tidak boleh kembali aktif dalam politik Myanmar.

Cabaran seterusnya bagi ASEAN adalah memilih Perutusan Khas yang mampu memperoleh kesediaan dan keyakinan daripada Tatmadaw untuk berunding.

Calon mesti dalam kalangan negarawan, bekas birokrat kanan dan panglima tentera telah bersara serta berpengalaman.

ASEAN harus bijak menggunakan kelebihan Thailand dan Singapura kerana ramai pemimpin Tatmadaw mempunyai hubungan baik dengan dua negara itu.

Ia menjadi destinasi pelaburan, mendapatkan rawatan dan menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran.

Yang pasti, sesiapa pun bakal dilantik menjadi Perutusan Khas ASEAN ke Myanmar perlu berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan.

Walaupun ketika Mesyuarat Khas ASEAN, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing tidak membantah lawatan Perutusan Khas ASEAN ke Myanmar tetapi buat masa kini kerajaan Myanmar melarang lawatan Perutusan Khas ASEAN sehingga kestabilan dapat dicapai.

Sejauh mana ASEAN benar-benar boleh membantu menyelesaikan konflik dan memulihkan keadaan politik di Myanmar, hanya masa boleh menjawabnya.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya