Sejarah langkah lockdown dunia

Sebuah kawasan lengang di bandar raya Auckland, New Zealand ketika perintah 'lockdown' dilaksanakan pada Februari lalu. - AFP
Sebuah kawasan lengang di bandar raya Auckland, New Zealand ketika perintah 'lockdown' dilaksanakan pada Februari lalu. - AFP
A
A
A

MELBOURNE - Perintah lockdown pertama kali dilaksanakan di bandar raya Wuhan di China pada 23 Januari 2020 iaitu dua hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina dan berlangsung selama lebih dua bulan bagi membendung peningkatan kes pandemik Covid-19.

Kaedah yang pertama kali diperkenalkan di dunia itu turut dikuatkuasakan oleh kebanyakan negara, bandar raya dan bandar di seluruh dunia selepas ia berjaya menurunkan kes jangkitan Covid-19 yang juga dikesan pertama kali di Wuhan pada Disember 2019.

Ketika itu, kira-kira 11 juta penduduk di ibu kota wilayah Hubei menjalani kuarantin ketat, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan sosial setelah langkah lockdown dilihat sebagai antara kaedah berkesan untuk menghalang penularan Covid-19 yang sehingga sekarang ubat penawarnya masih belum ditemui.

Sehingga Sabtu, China mencatatkan lebih 91,000 kes dan lebih 4,000 kematian manakala lebih 86,000 orang sembuh daripada pandemik tersebut selepas lockdown dikuatkuasakan di beberapa buah bandar raya dan program vaksinasi dilancarkan di negara yang mempunyai lebih 1.4 bilion penduduk itu.

Sejak lebih 18 bulan lalu, lebih 100 buah negara telah melaksanakan lockdown penuh dan separa antaranya Itali, Jerman, United Kingdom (UK), Arab Saudi, Cyprus, Perancis, Belgium dan sejumlah bandar raya di Asia, New Zealand serta wilayah Oceania.

Sebahagian besar negara turut melaksanakan semula langkah lockdown lebih daripada sekali selepas berdepan lonjakan kes jangkitan Covid-19.

Penduduk Wuhan menjalani kehidupan normal selepas perintah ‘lockdown’ berjaya menurunkan kes jangkitan di bandar tersebut. - AFP
Penduduk Wuhan menjalani kehidupan normal selepas perintah ‘lockdown’ berjaya menurunkan kes jangkitan di bandar tersebut. - AFP

Baru-baru ini, negeri Victoria di Australia melaksanakan lockdown kali keempat yang dikuatkuasakan selama tujuh hari bermula tengah malam Khamis lalu ekoran kluster Covid-19 meningkat.

Artikel Berkaitan:

Penduduk di negeri tersebut hanya dibenarkan keluar untuk membeli makanan dan bekalan asas penting serta keluar untuk bekerja sebagai langkah untuk mengekang penyebaran wabak itu yang semakin meningkat di rantau Asia.

Di bawah peraturan itu, hanya seorang wakil daripada setiap isi rumah dibenarkan untuk keluar membeli barangan dan keperluan penting pada setiap hari di samping mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Negara itu yang mempunyai lebih 25 juta penduduk hanya mempunyai lebih 30,000 kes Covid-19 dengan mencatatkan lebih 900 kematian.

Langkah lockdown itu dilaksanakan hanya beberapa hari selepas pihak berkuasa menguatkuasakan langkah-langkah kawalan bagi mengekang penularan Covid-19 di bandar raya Melbourne.

Antara langkah kawalan itu ialah mengehadkan bilangan orang ramai dalam sesebuah pertemuan sosial, mewajibkan pemakaian pelitup muka di restoran, hotel dan lokasi-lokasi di luar rumah sehingga Jumaat ini.

Sebelum ini, seorang individu yang baru balik dari luar negara di negeri itu dikesan dijangkiti dengan satu varian Covid-19 yang ditemui di India yang merupakan kluster terbaharu pandemik tersebut di Victoria.

Pada 28 Februari lalu, bandar raya Auckland di New Zealand turut melaksanakan lockdown buat kali kedua dalam tempoh sebulan yang dikuatkuasakan selama tujuh hari selepas satu varian Covid-19 yang pertama kali ditemui di UK dan lebih berbahaya menjangkiti pada seorang pelajar di negara berkenaan.

Pada masa itu, penduduk di bandar yang mempunyai populasi hampir dua juta orang itu hanya dibenarkan untuk keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan penting dan bekerja.

Pelaksanaan lockdown itu turut mendapat kritikan daripada sejumlah pengguna media sosial malah ada yang menyifatkan ia sebagai ‘tidak masuk akal’ kerana ia dilaksanakan hanya disebabkan oleh satu kes jangkitan Covid-19.

Penduduk dibenarkan untuk membuat ujian saringan Covid-19 semasa ‘lockdown’ dikuatkuasakan di Melbourne. - AFP
Penduduk dibenarkan untuk membuat ujian saringan Covid-19 semasa ‘lockdown’ dikuatkuasakan di Melbourne. - AFP

Sehingga Sabtu, negara itu yang mempunyai lima juta penduduk hanya mencatatkan lebih 2,000 kes dan 26 kematian akibat Covid-19.

Dalam pada itu, negeri Tamil Nadu di India melanjutkan perintah lockdown seminggu lagi yang mula dilaksanakan pada 24 Mei lalu tetapi melalui lanjutan tersebut, ia hanya akan berakhir sehingga jam 6 pagi (waktu tempatan) pada 7 Jun ini.

Di bawah peraturan itu, kebenaran telah diberikan kepada peniaga runcit untuk menjual barangan mereka dengan menggunakan kenderaan dan pedati atau kereta sorong antara jam 7 pagi hingga 6 petang (waktu tempatan).

Ibu negeri Tamil Nadu, Chennai menyaksikan penurunan kes Covid-19 hampir enam peratus dalam tempoh seminggu sejak lockdown diperkenalkan selepas India yang berdepan krisis kesihatan dan ancaman fungus hitam mencatatkan lebih 27 juta kes dan lebih 300,000 kematian akibat Covid-19 sehingga Sabtu.

Ketika ini, Amerika Syarikat (AS) yang tidak pernah melaksanakan lockdown mencatatkan lebih 30 juta kes dan lebih 590,000 kematian sehingga Sabtu dan kekal berada di tangga teratas negara paling teruk terjejas di dunia walaupun bilangan kes harian Covid-19 akibat pandemik berkenaan semakin menurun sebanyak lima peratus secara purata sejak program vaksinasi dilancarkan secara besar-besaran.