Terbuka Austria: Pemain Malaysia kejutkan pemain pilihan

Wan Arif-Muhammad Haikal hanya memerlukan 32 minit untuk mencalarkan ego pilihan ketiga dari Perancis Fabien Delrue-William Villeger 21-19, 21-16. FOTO: Badminton Association of Malaysia - BAM
Wan Arif-Muhammad Haikal hanya memerlukan 32 minit untuk mencalarkan ego pilihan ketiga dari Perancis Fabien Delrue-William Villeger 21-19, 21-16. FOTO: Badminton Association of Malaysia - BAM
A
A
A

PASANGAN beregu negara terus mempamerkan aksi bertenaga apabila mengejutkan gandingan pilihan untuk mara ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Austria, malam ini.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Raiffeisen Sportpark di Graz, gandingan beregu campuran Beh Chun Meng-Cheng Su Hui dipaksa bekerja keras sehingga ke set penentuan sebelum membenam pilihan keenam dari Poland, Pawel Smilowski-Wiktoria Adamek.

Menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bwfbadminton.com, Chun Meng-Su Hui menang 21-15, 15-21, 21-19 dalam aksi selama 57 minit dan akan bertemu wakil Denmark Mads Vestergaard-Natasja P. Anthonisen dalam saingan lapan terbaik.

Mereka akan diiringi juara Kejohanan Antarabangsa Slovenia 2021 Choong Hon Jian-Toh Ee Wei yang menewaskan satu lagi pasangan negara Muhammad Haikal-Low Yeen Yuan 21-17, 21-19 pada pusingan kedua itu.

Di pusingan suku akhir, Hon Jian-Ee Wei akan membuat perhitungan menentang wakil Slovenia, Miha Ivanic-Nika Arih yang turut melakar kejutan menumbangkan pilihan kedua Patrick Scheiel-Franziska Volkmann dari Jerman 21-19, 21-19.

Pada masa sama, dua wakil beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri dan Chang Yee Jun-Chia Wei Jie turut mara ke pusingan suku akhir selepas mengatasi lawan masing-masing.

Wan Arif-Muhammad Haikal hanya memerlukan 32 minit untuk mencalarkan ego pilihan ketiga dari Perancis Fabien Delrue-William Villeger 21-19, 21-16 sementara Yee Jun-Chia Wei menewaskan Andreas Sondergaard-Jesper Toft dari Denmark 20-22, 21-12, 21-18.

Sementara itu, Malaysia turut cemerlang dalam acara beregu wanita selepas gandingan Anna Cheong Ching Yik-Yap Cheng Wen mudah menjinakkan wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua Serena Au Yeong-Katharina Hochmeir 21-11, 21-9 pada pusingan kedua.

Artikel Berkaitan:

Turut mara ke suku akhir adalah pasangan Low Yeen Yuan-Valeree Siow yang menumpaskan pilihan ketiga dari Republik Czech Alzbeta Basova-Michaela Fuchsova 21-14, 21-15.

Dalam pada itu, cabaran wakil tunggal perseorangan lelaki negara Justin Hoh terhenti di pusingan kedua selepas tewas 21-17, 23-25, 15-21 kepada pemain Indonesia Panji Ahmad Maulana.