'Total lockdown': LFMM gesa aktiviti import, eksport dibenarkan

FMM gesa kerajaan untuk membenarkan aktiviti sektor import dan eksport diteruskan termasuk pelabuhan, penggudangan dan penghantaran barang sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh. - Gambar hiasan
FMM gesa kerajaan untuk membenarkan aktiviti sektor import dan eksport diteruskan termasuk pelabuhan, penggudangan dan penghantaran barang sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk membenarkan aktiviti sektor import dan eksport diteruskan termasuk pelabuhan, penggudangan dan penghantaran barang sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

FMM dalam kenyataan pada Sabtu turut berharap agar industri pembuatan dengan pesanan eksport berkontrak akan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus, meskipun tidak terbabit dalam sektor ekonomi perlu.

"Kerajaan juga perlu memberi kebenaran kepada industri yang menjalankan penyelenggaraan loji, sambil menambah, mereka yang mempunyai relau dan tanur yang perlu beroperasi selama 24 jam seminggu dan tidak boleh dihentikan, mesti dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja 20 peratus.

“Dalam hal ini, FMM sedar bahawa kerajaan selama ini sentiasa mengekalkan keseimbangan antara melindungi nyawa dan punca pendapatan, namun, lonjakan jumlah kes pada minggu ini menyebabkan tindakan mengenakan sekatan pergerakan penuh itu dibuat," kata kenyataan itu.

Menurut FMM, ia turut menarik nafas lega dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat bahawa Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

“FMM mengulangi bahawa kerajaan harus segera menyokong industri pada saat yang genting ini menerusi bantuan dan inisiatif kewangan yang diperlukan termasuk memperuntukkan Dana Bantuan Khas untuk membantu syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana," kata kenyataan itu lagi.

Selain moratorium automatik selama tiga bulan mulai 1 Jun 2021, FMM turut berharap agar kerajaan mewujudkan semula Program Subsidi Upah kepada semua industri dan menangguh atau melanjutkan tarikh bayaran bagi semua caruman berkanun berikutan penutupan sepenuhnya operasi, melainkan mereka yang disenaraikan dalam sektor perlu.

Pihaknya turut menggesa kerajaan untuk mengecualikan caj Permintaan Maksimum Tenaga Nasional Bhd untuk Mei 2021 memandangkan industri telah mengurangkan sebanyak 60 peratus tenaga kerja sejak 25 Mei 2021 dan meneruskan rebat elektrik untuk tempoh enam bulan akan datang mulai Julai hingga Disember tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: