Doktor terpaksa buat pilihan sukar utamakan katil di ICU

Doktor terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila kes aktif Covid-19 melebihi kemampuan mereka untuk merawat. - Foto Twitter Dr Noor Hisham
Doktor terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila kes aktif Covid-19 melebihi kemampuan mereka untuk merawat. - Foto Twitter Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan doktor terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila kes aktif Covid-19 melebihi kemampuan mereka untuk merawat.

Menurutnya, keutamaan itu bagi pesakit yang berpotensi untuk sembuh yang tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya yang rendah.

“Terkini, inilah hakikat sebenar,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Sabtu.

Dilaporkan, kes harian Covid-19 memecahkan rekod baharu apabila 9,020 kes positif Covid-19 dan 98 kematian dicatatkan.

Noor Hisham berkata, terdapat 76,218 kes aktif di seluruh negara yang mana 844 pesakit dirawat di ICU.

Sementara itu, dalam ciapan berbeza, Noor Hisham berkata, bilik simpanan mayat di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mula penuh dan semakin sukar untuk menampung jumlah jenazah atau mayat susulan peningkatan kematian akibat Covid-19.

“Sehubungan itu, pihak perkhidmatan perubatan forensik telah menyediakan kontena khas khusus sama ada untuk jenazah atau mayat.

“Kontena jenazah di lima buah hospital iaitu Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Hospital Queen Elizabeth I dan Hospital Sungai Buloh serta satu ‘fleximort’ khusus untuk jenazah Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Artikel Berkaitan:

“Setiap kontena boleh menampung maksimum 20 jenazah dan ‘fleximort’ maksimum 12 jenazah,” katanya.