Azizulhasni perjelas kebaikan vaksin

Azizulhasni menggunakan media sosialnya untuk berkongsi kebaikan pengambilan vaksin Covid-19 kepada rakyat Malaysia.
Azizulhasni menggunakan media sosialnya untuk berkongsi kebaikan pengambilan vaksin Covid-19 kepada rakyat Malaysia.
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menggunakan media sosialnya untuk berkongsi kebaikan pengambilan vaksin Covid-19 kepada rakyat Malaysia.

‘The Pocket Rocketman’ menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook dan Instagram, memberi analogi untuk menerangkan dengan lebih mudah mengenai kebaikan vaksinasi yang memberi perlindungan hampir 95 peratus daripada virus berbahaya itu.

"Bayangkan kalau kita berada di tengah hujan sangat lebat maka bila guna payung tak basah la baju kita ni tapi jika tiada payung dan tempat berteduh sudah tentu habis basah kuyuplah. Betul tak?,” katanya dalam video bertajuk ‘Kenapa Perlu Ambil Vaksin’ berdurasi dua minit 55 saat itu.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, vaksinasi membantu mengurangkan gejala teruk yang boleh membawa maut di samping tidak menyebarkan virus kepada orang tersayang seperti ibu, bapa, datuk, nenek serta saudara-mara.

Mengenai dakwaan teori konspirasi yang kononnya vaksin mengandungi cip mikro serta agenda membunuh manusia, Mohd Azizulhasni berkata, kajian dilakukan selama berpuluh tahun membuktikan pemberian vaksin dapat menyelamatkan manusia sekiranya dijangkiti sesuatu wabak.

"Sebagai contoh, lebih 20 juta kanak-kanak diselamatkan sejak pemberian vaksin polio, masyarakat dunia bukannya semakin berkurang tetapi semakin bertambah seperti yang kita lihat hari ini...Ini semua hasil daripada kesihatan manusia sejagat yang semakin baik,” katanya.

Jelas Azizulhasni lagi, ujian klinikal menunjukkan kesan sampingan selepas pengambilan vaksin adalah sangat minimum seperti mengalami demam, sakit di tempat dicucuk selain pening kepala namun kesakitan dialami adalah bersifat sementara.

"Paling penting untuk diingat adalah manfaat utama pengambilan vaksin iaitu untuk melindungi diri kita dan juga orang yang kita sayangi daripada dijangkiti virus Covid-19. Sudah tentu ini adalah atas izin ALLAH.

Artikel Berkaitan:

"Kalau anda rasa video ini bermanfaat, tolong kongsikan kepada rakan-rakan yang lain. Terima kasih. Lindungi diri, lindungi semua,” katanya.