Covid-19: Sentiasa patuhi SOP ketika rai Pesta Kaamatan

Rakyat di Sabah diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika meraikan Pesta Kaamatan pada Ahad dan Isnin ini. - Foto fail Bernama
Rakyat di Sabah diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika meraikan Pesta Kaamatan pada Ahad dan Isnin ini. - Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam mengingatkan rakyat di Sabah agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika meraikan Pesta Kaamatan Ahad dan Isnin ini.

Beliau berkata, rakyat disaran agar tidak mengadakan aktiviti perkumpulan secara fizikal seperti berhimpun bersama keluarga dan rakan sepanjang sambutan perayaan itu bagi memastikan Covid-19 tidak menjangkiti orang tersayang.

"Justeru semua masyarakat dijemput untuk menyambut perayaan Kaamatan ini dengan penuh kesederhanaan dan memupuk perpaduan sesama kita... marilah kita tunjukkan semangat ini dengan lebih bekerjasama atau ‘mitatabang.'

"Semua pihak harus akur dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan bagi memutuskan penularan wabak COVID-19 dan supaya kadar kes jangkitan tidak bertambah,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sabah pada Sabtu merekodkan 265 jangkitan baharu menjadikan jumlah kumulatif 61,847 kes manakala kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 153 orang menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah ialah 59,391.

Joachim berkata, rakyat seharusnya bersyukur kerana masih berpeluang menyambut Pesta Kaamatan walaupun berdepan cabaran sukar Covid-19.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pula menasihati rakyat negeri itu supaya tidak keluar rumah sekiranya tidak perlu berbuat demikian dan sentiasa mematuhi SOP apabila perlu keluar rumah.

"Kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mencegah penyebaran Covid-19 sehingga rakyat dapat kembali kepada kehidupan normal, kita semua berhasrat menghidupkan kembali ekonomi Sabah tetapi kita hanya dapat melakukannya jika rakyat selamat," menurutnya dalam kenyataan berasingan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha membendung penularan Covid-19 melalui langkah menjaga disiplin dan mengawal diri serta mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Katanya, sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa mulai 1 Jun ini akan memberi kesan kepada sektor ekonomi namun langkah itu perlu diambil bagi memutuskan rangkaian penularan Covid-19.

"Kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk menyokong dan memberi bantuan kepada rakyat melalui pejabat-pejabat daerah," katanya yang turut menggesa rakyat Sabah mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19. - Bernama