Jemaah masjid gagal patuh SOP sebabkan Kluster Patuma

Kegagalan jemaah Masjid Al Falah, Kepayan mematuhi SOP ditetapkan telah menyebabkan Kluster Patuma yang sehingga ini menjangkiti 11 orang. Gambar hiasan
Kegagalan jemaah Masjid Al Falah, Kepayan mematuhi SOP ditetapkan telah menyebabkan Kluster Patuma yang sehingga ini menjangkiti 11 orang. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kegagalan jemaah Masjid Al Falah, Kepayan di sini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, telah menyebabkan Kluster Patuma yang sehingga ini menjangkiti 11 orang, kata Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap rasmi berkaitan Covid-19 Sabah berkata, kluster berkenaan mula direkodkan pada 18 Mei lepas, menerusi saringan bergejala di sebuah klinik swasta.

Katanya, kes indeks kluster itu merupakan seorang bilal berusia 55 tahun di masjid itu, dan siasatan awal mendapati individu itu dipercayai mendapat jangkitan daripada jemaah, yang gagal mematuhi SOP ketat sepanjang berada di masjid terbabit.

“Potensi penularan juga disumbang oleh segelintir jemaah yang masih hadir ke masjid walaupun mempunyai gejala... susulan kes itu pasukan kawalan bertindak pantas dengan menjalankan saringan kontak dan mendapati 10 lagi kes positif Covid-19.

“Setakat hari ini, 133 sampel pertama telah diambil dan 33 sampel lagi masih belum selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai situasi Covid-19 di negeri ini Masidi berkata, Sabah pada Sabtu merekodkan 265 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif 61,847 kes, manakala kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 153 orang menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah ialah 59,391.

“Empat kes kematian direkodkan di Sabah pada Sabtu iaitu dua di Kota Belud dan masing-masing satu di Kuala Penyu dan Kota Kinabalu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: