X

Kindly register in order to view this article
!

1,019 kes Covid-19 libatkan 26 kluster sambutan Aidilfitri dikesan

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,019 kes Covid-19 melibatkan 26 kluster yang berpunca daripada sambutan Aidilfitri dikesan sejak 13 Mei hingga Jumaat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, dua kematian telah dilaporkan sehingga kini, manakala satu kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Seramai 4,047 individu telah disaring yang mana sebanyak 1,019 kes telah dikenal pasti positif dalam kluster-kluster ini iaitu kadar positiviti 25.1 peratus," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, Sabah mencatatkan bilangan kluster sambutan Aidilfitri tertinggi dengan tujuh kluster diikuti Kelantan (lima kluster), manakala Johor, Melaka, Pahang, Selangor serta Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing dua kluster.

Pihaknya juga menjangkakan jumlah kes dan bilangan kluster meningkat dan berkemungkinan melibatkan lebih banyak negeri serta daerah.

"Meskipun kerajaan telah menetapkan bahawa ziarah raya dan penganjuran majlis perayaan tidak dibenarkan, namun masih ramai yang tidak endah larangan ini yang mengakibatkan tercetusnya kluster-kluster baharu Covid-19 sehingga ada yang mengakibatkan kes maut," katanya.

Justeru beliau menyeru masyarakat mengambil iktibar dan tidak mengulanginya bagi sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai serta Aidilfitri yang kebiasaannya berlanjutan hingga sebulan.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan masyarakat bahawa larangan merentas daerah dan negeri masih berkuat kuasa.

Katanya, sebanyak 51 kluster rentas negeri yang melibatkan 6,468 kes dikesan sejak 7 Disember 2020.

Beliau berkata, aktiviti merentas daerah, negeri, kunjung-mengunjung atau perhimpunan sewaktu perayaan tidak sepatutnya berlaku sama sekali susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dari 1 hingga 14 Jun depan.

"Sekarang adalah waktu untuk kita semua bertindak bersama-sama menurunkan jumlah kes dan kematian harian," katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata, 23 kluster baharu dikesan pada Sabtu sekali gus menjadikan 603 kluster aktif di seluruh negara setakat ini.

Antara lain, ia melibatkan masing-masing lapan kluster tempat kerja dan kluster komuniti, lima kluster keagamaan dan satu kluster institusi pengajian tinggi swasta di bawah Kementerian Pendidikan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!