EAIC pandang serius, siasat isu kematian dalam tahanan

EAIC memandang serius isu kematian dalam tahanan termasuk tiga kes seperti yang dilaporkan sebuah portal berita tempatan, pada Jumaat.
EAIC memandang serius isu kematian dalam tahanan termasuk tiga kes seperti yang dilaporkan sebuah portal berita tempatan, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memandang serius isu kematian dalam tahanan termasuk tiga kes seperti yang dilaporkan sebuah portal berita tempatan pada Jumaat.

EAIC dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, kajian menyeluruh dan mendalam sedang dilakukan mengenai sebarang isu berhubung kes kematian dalam tahanan seperti yang dilaporkan.

Pada 1 Mei lepas, EAIC menubuhkan Jawatankuasa Kajian Kematian dalam Tahanan yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi EAIC Tan Sri Datuk Zainun Ali yang telah menentukan dan menetapkan Terma Rujukan bagi tindakan melaksanakan kajian ini.

“ ... yang akan melibatkan antara lain pengumpulan data dan statistik kes kematian dalam tahanan agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC termasuklah mengenal pasti punca kematian dalam tahanan, kajian perbandingan undang-undang dan peraturan lokap negara-negara lain dan kajian lapangan terhadap lokap terpilih di seluruh negara dengan penumpuan akan diberikan kepada lokap yang pernah berlakunya kes kematian dalam tahanan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, hasil kajian ini akan dikemukakan kepada pihak kerajaan bagi pengesyoran penambahbaikan prosedur pengendalian tahanan dalam lokap agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC bagi menangani isu yang berkaitan dengan sewajarnya.

Kata kenyataan itu, setiap siasatan berhubung kematian dalam tahanan oleh pihak EAIC adalah bebas dan telus berdasarkan kuasa penyiasatan yang diperuntuk di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Pada Jumaat, portal itu melaporkan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mempersoal sama ada pihak EAIC telah mengambil sebarang tindakan berhubung tiga kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan dalam tempoh 40 hari sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: