Selamat maju jaya skuad Harimau Pekak Malaysia

Skuad Harimau Pekak Malaysia bakal beraksi pada Pusingan Kelayakan Bola Sepak Orang Pekak Peringkat Asia-Pasifik di Iran dari 1 hingga 11 Jun ini.
Skuad Harimau Pekak Malaysia bakal beraksi pada Pusingan Kelayakan Bola Sepak Orang Pekak Peringkat Asia-Pasifik di Iran dari 1 hingga 11 Jun ini.
A
A
A

MALAYSIA diharap mampu menyambar slot automatik ke temasya Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul, Brazil pada 2022 apabila turun bertanding dalam Pusingan Kelayakan Bola Sepak Orang Pekak Peringkat Asia-Pasifik di Iran dari 1 hingga 11 Jun ini.

Selain Malaysia, tujuh lagi negara akan berentap pada kejohanan dijadual berlangsung di Kish Island itu adalah Iran, Korea Selatan, Kazakhstan, Uzbekistan, Iraq, Afghanistan dan Thailand.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kejohanan itu merupakan pertandingan yang penting dan pasukan negara perlu menjadi antara empat pasukan terbaik untuk membolehkan layak ke temasya Deaflympic.

"Temasya Deaflympic dianggap sukan Olimpik kepada Golongan Kurang Upaya pendengaran. Selamat bertanding kepada pasukan bola sepak orang pekak negara yang akan bersaing di Iran.

"Saya jemput dan alu-alukan seluruh kekuatan sokongan warga dan peminat sukan Malaysia, kita doakan kejayaan pasukan kita ini. Kita harap mereka dapat bermain dengan cemerlang dan seterusnya layak ke Deaflympics di Brazil," katanya dalam video di laman Facebook rasmi beliau pada Sabtu.

Pada masa sama, Reezal Merican turut berbangga dengan kejayaan Malaysia menempa sejarah tersendiri apabila menjadi antara 24 negara yang layak beraksi di pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia ke-4 di Korea Selatan pada 2023.

Reezal Merican memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu terus memperkasakan pasukan bola sepak orang pekak negara selepas KBS melalui Majlis sukan Negara (MSN) menjadikan skuad itu sebagai Program Khas MSN sejak 1 September 2020 dengan pembiayaan sepenuhnya ditanggung MSN.

Pasukan bola sepak orang pekak negara yang turut dikenali skuad Harimau Pekak Malaysia kendalian Manachai Sittisarn kini berada dalam kelompok 24 pasukan terbaik dunia, malah turut menghuni ranking keenam Asia Pasifik dan kedua di Asia Tenggara. - Bernama

Artikel Berkaitan: