MTUC gesa kerajaan salur bantuan kepada golongan terjejas

Mohd Effendy
Mohd Effendy
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menyalurkan bantuan kepada golongan yang terjejas berikutan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara, bermula Selasa ini.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu menyediakan beberapa insentif sebagaimana dilakukan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP1.0) tahun lalu bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat khususnya warga pekerja.

Beliau berkata, antara insentif tersebut termasuklah moratorium automatik untuk golongan yang terjejas dan bantuan subsidi utiliti serta penggunaan data internet bagi mereka yang bekerja dari rumah (BDR).

“Selain itu, kerajaan juga perlu sediakan bantuan kewangan yang lain dan menyeluruh kepada golongan B40 malah melindungi ekonomi golongan peniaga kecil dan sederhana (PKS) supaya mereka dapat meneruskan perniagaan masing-masing.

“Malah Program Subsidi Upah (PSU) juga perlu dipertingkatkan lagi kepada golongan pekerja yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu memastikan pekerja tidak teraniaya atau menjadi mangsa kepada sesetengah majikan yang ingin mengambil kesempatan terhadap pekerja termasuklah pekerja-pekerja migran.

Katanya, melalui ‘Covid-19 Helpdesk’ semasa PKP 1.0, pihaknya menerima sebanyak 21,953 kes melibatkan pekerja yang tidak dibayar gaji, dipaksa mengambil cuti tahunan dan cuti tanpa gaji selain diberhentikan kerja atas sebab Covid-19.

“Justeru, pihak MTUC berharap kerajaan melalui pengalaman yang lepas dapat membendung isu-isu ini agar ia tidak berulang lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan PKP penuh atau ‘total lockdown’ juga perlu mendapat kerjasama semua pihak dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tetapkan oleh kerajaan.

Katanya, pelaksanaan PKP penuh dilihat bukan jalan penyelesaian terbaik tetapi ia merupakan pilihan yang ada buat masa ini bagi membendung peningkatan kes Covid-19 dalam negara.

“Amalan sanitasi di pejabat, kedai-kedai atau kawasan kediaman hendaklah dijadikan SOP wajib.

“Ini boleh dijayakan dengan mewujudkan dan memperkasakan fungsi Jawatankuasa Keselamatan Kesihatan Pekerja di tempat kerja (Akta OSHA 1994), mewujudkan golongan sukarelawan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) atau Persatuan-Persatuan Kebajikan.

“MTUC percaya tindakan agresif ini mampu membantu membendung penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat mahupun di tempat kerja,” katanya.