Tiada pembelian panik di Pulau Pinang

Mohd Ridzuan (kanan) bersama anggota penguatkuasa KPDNHE Pulau Pinang ketika meninjau bekalan barangan di Pusat Membeli Belah Queensbay pada Sabtu.
Mohd Ridzuan (kanan) bersama anggota penguatkuasa KPDNHE Pulau Pinang ketika meninjau bekalan barangan di Pusat Membeli Belah Queensbay pada Sabtu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Tiada pembelian panik yang berlaku di Pulau Pinang sebaliknya terdapat peningkatan pelanggan yang keluar membeli barang keperluan tambahan pada hujung minggu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, gambar yang tular yang menunjukkan orang ramai berbaris panjang untuk masuk ke pasar raya disebabkan kawalan yang dilakukan selain perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan barangan di negeri ini mencukupi dan pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik berikutan arahan 'lockdown' yang dikuatkuasakan kerajaan bermula 1 Jun ini.

Sebaliknya, Mohd Ridzuan meminta masyarakat pengguna di Pulau Pinang agar merancang pembelian sekiranya mahu membeli bekalan barangan di pasar raya.

"Pengguna tidak perlu membuat pembelian secara pukal kerana bekalan barangan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, telur, roti putih dan ayam juga sentiasa mencukupi.

"Jangan bimbang kerana sepanjang tempoh lockdown nanti pasar raya masih lagi dibuka malah pengguna juga boleh mendapat bekalan barangan di kedai runcit berhampiran," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Membeli Belah Queensbay di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut Mohd Ridzuan, beberapa langkah akan diambil pihaknya sebagai persediaan sekiranya berlaku situasi pembelian panik.

"Antaranya meningkatkan pemantauan selain meminta pihak pasar raya membuat kawalan kendiri seperti menghadkan jumlah pembelian barangan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga menasihatkan kepada pengusaha pasar raya sekiranya berlaku pembelian mendadak, kita minta pasar raya buat kawalan kendir dan hadkan pembelian namun kita telah belajar daripada PKP 1.0 sebelum ini dan untuk kali ini kita memberi jaminan bekalan barangan mencukupi," katanya.