Rancangan singkir Netanyahu

Dari kiri: Lapid, Netanyahu dan Bennett.
Dari kiri: Lapid, Netanyahu dan Bennett.
A
A
A

TEL AVIV - Nasib Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menjadi pemimpin paling lama memerintah seolah-olah berada di hujung tanduk selepas pemimpin Parti Yamina, Naftali Bennett bersetuju untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama ketua pembangkang, Yair Lapid yang memimpin Parti Yesh Atid.

Saluran N12 pada Jumaat melaporkan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk melantik Bennett sebagai Perdana Menteri sehingga September 2023 sebelum diambil alih oleh Lapid yang akan memimpin kerajaan perpaduan tersebut sehingga November 2025.

"Majlis angkat sumpah itu dijadualkan pada 7 Jun depan setelah pengumuman tentang penubuhan kerajaan baharu itu dibuat dua hari sebelum itu," jelas laporan itu lagi.

Sebelum ini, Netanyahu melancarkan perang retorik ke atas Bennett yang merupakan bekas sekutunya dengan mendakwa beliau sengaja menolak kerajaan berhaluan kanan kerana mahu menjadi Perdana Menteri kerajaan berhaluan kiri.

Menerusi rakaman video berdurasi tiga minit yang dimuat naik di media sosial, Netanyahu mendakwa Parti Likud pimpinannya dan perunding Parti Yamina kononnya telah mencapai persetujuan, namun Bennett enggan menandatangani perjanjian tersebut.

Bekas Menteri Pertahanan itu dikatakan menolak untuk membentuk kerajaan minoriti bersama Netanyahu dan menggesa beliau untuk mencari sokongan pihak lain.

Difahamkan, perjanjian itu akan menyaksikan penubuhan pakatan terdiri daripada 59 ahli Knesset (Parlimen) untuk membentuk 61 majoriti yang diperlukan.

"Bennett kini telah beralih arah kepada pihak haluan kiri. Ia bertentangan dengan prinsip dan janji serta segala yang diperlukan untuk menjamin masa depan Israel," ujar Netanyahu yang semakin bimbang dengan kedudukannya yang bakal tersingkir jika gagal meraih sokongan parti lain untuk bergabung dengannya.

Artikel Berkaitan:

Netanyahu yang turut berdepan kecaman masyarakat antarabangsa kerana melancarkan kempen pengeboman menyasarkan orang awam tidak berdosa di Genting Gaza pada 10 Mei lalu juga seperti berharap Bennett akan menolak tawaran Lapid untuk mengambil alih jawatannya.

Sementara itu, Lapid yang diberi mandat oleh Presiden Reuven Rivlin untuk menubuhkan kerajaan perpaduan baharu itu menyatakan beliau masih tidak dapat mengesahkan sama ada ia dapat direalisasikan sebelum tarikh akhir tamat pada malam Rabu ini walaupun terdapat spekulasi bahawa rancangan 'transformasi' politik itu akan menyaksikan penyingkiran Netanyahu. - Agensi