Hampir semua pasar raya di Terengganu diserbu pelanggan

Pelanggan beratur menunggu giliran untuk memasuki sebuah pasar raya di Kuala Terengganu. - Foto ihsan pembaca
Pelanggan beratur menunggu giliran untuk memasuki sebuah pasar raya di Kuala Terengganu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hampir semua pasar raya di negeri ini diserbu pelanggan pada Sabtu terutama di daerah Kuala Terengganu susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah terbabit pada Ahad dan 'total lockdown' yang akan dikuatkuasakan di seluruh negara bermula 1 Jun.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, tindakan orang ramai keluar serentak bagi mendapatkan stok barangan hari ini dikhuatiri mencetuskan penyebaran pandemik Covid-19.

"Apa yang diperhatikan berlaku peningkatan jumlah pelanggan di hampir semua pasar raya di negeri ini yang beratur panjang untuk mendapatkan giliran masuk dan membayar di kaunter.

"Keadaan ini tidak begitu baik memandangkan kita masih dalam tempoh pandemik dan berlaku penularan di sana sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Saharuddin menegaskan, stok barangan makanan terutama melibatkan keperluan asas di negeri ini mencukupi dan orang ramai dibenarkan keluar bagi mendapatkan bekalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Perlu ingat, jangan lakukan 'panic buying' seperti ketika awal-awal PKP dulu sehingga ada antara barangan dibeli melepasi tarikh luput dan dibuang begitu sahaja.

"Dalam situasi ini, kita perlu merancang pembelian secara berhemah dan elakkan pembaziran. Jangan panik kerana sumber bekalan makanan mencukupi untuk semua orang," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi jualan barangan basah seperti ayam, ikan dan daging di kawasan pinggir bandar di daerah Kuala Terengganu mendapati berlaku peningkatan pembeli sejak awal pagi.

Artikel Berkaitan:

Seorang pelanggan, Aisah Rashid, 56, berkata, beliau telah ke beberapa lokasi untuk mendapatkan bekalan ayam mentah namun kesemuanya telah habis.

"Saya telah ke beberapa lokasi di tepi jalan untuk mendapatkan ayam namun penjual memaklumkan ia telah habis. Mujurlah di sini masih ada bekalan," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Mahmud Zain, 45, berkata, beliau telah menambah stok bekalan ayam dan barangan mentah yang dijual pada Sabtu kerana telah menjangka pelanggan akan bertambah.

"Hari ini saya terpaksa tambah stok bekalan ayam lebih banyak berbanding semalam kerana telah menjangka orang ramai akan keluar membeli hari ini.

"Lagipun saya masih keliru sama ada peniaga seperti kami dibenarkan atau tidak berniaga ayam di tepi jalan sepanjang tempoh PKPD dan 'lockdown' nanti," katanya.