X

Kindly register in order to view this article
!

Pelanggan sanggup beratur panjang

Orang awam beratur panjang bagi memasuki pasar raya.
A
A

KUALA LUMPUR - Rata-rata pelanggan di sebuah pasar raya di Setapak di sini sanggup beratur panjang bagi mendapatkan barangan keperluan harian mereka sebagai persediaan pelaksanaan 'total lockdown' yang akan bermula Selasa ini.

Begitupun Tinjauan Sinar Harian di premis berkenaan pada sekitar jam 1 tengah hari turut mendapati ada segelintir pelanggan mengambil keputusan membatalkan hasrat mereka setelah melihat barisan panjang sebelum memasuki premis terbabit.

Seorang pekerja swasta yang ditemui, Izwani Nadzri, 45, berkata, dia hampir membatalkan hasratnya untuk masuk ke pasar raya itu sebaik melihat barisan panjang, namun terpaksa akur untuk berada dalam barisan memandangkan kebanyakan keperluan harian di rumahnya sudah kehabisan stok.

"Biasanya datang ke sini terus masuk dan tidak perlu beratur tetapi hari ini kena tunggu giliran pula. Masa beratur nampak macam ramai tapi bila dah masuk keadaannya lengang.

"Saya lihat tiada pembelian panik berlaku mungkin sebab sebelum ini sudah ada pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh jadi orang membeli hanya mengikut keperluan, barang dirak juga penuh tiada yang habis, semuanya ada," katanya.

Mama Mia bersama barangan yang dibeli untuk kegunaan sebulan termasuk barangan bayi.
Mama Mia bersama barangan yang dibeli untuk kegunaan sebulan termasuk barangan bayi.

Dalam pada itu, seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Mama Mia, 60 ketika ditemui selepas selesai membeli barangan keperluan hariannya berkata, dia tidak membuat pembelian panik meskipun trolinya kelihatan penuh.

"Troli penuh bukan sebab pembelian panik tetapi ini adalah perbelanjaan bulanan yang biasa dilakukan. Barangan ini semuanya untuk kegunaan sebulan bukannya sebab 'total lockdown'.

" Nampak barang banyak mungkin sebab barang bayi. Anak saya ada anak kecil, jadi memang banyak beli barang bayi seperti susu, lampin pakai buang dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, salah seorang pekerja pasar raya berkenaan, Sharifah Azizah Syed Ahmad, 42 berkata, jumlah pengunjung yang datang pada hari tersebut lebih ramai daripada biasa dan pelanggan juga dilihat sudah beratur seawal jam 8 pagi.

"Kalau dilihat dari luar memang nampak mereka terpaksa beratur panjang tetapi keadaan di dalam pasar raya ini tidak sesak. Ini kerana pihak pengurusan mengikut penetapan prosedur operasi standard (SOP) dengan mengehadkan jumlah pengunjung bagi satu-satu masa dan setiap pengunjung diberikan masa setengah jam untuk membeli keperluan.

"Setakat ini stok barangan masih ada, pihak pasar raya juga telah membuat persediaan untuk 'total lockdown' ini bagi memastikan tiada masalah kehabisan stok sepanjang tempoh dua minggu ini," katanya.

Bagi anggota tentera, Zulkarnain Mohd Ali, 38 pula berkata, dia terpaksa membatalkan hasratnya untuk membeli barangan keperluan harian serta persiapan menjelang 'total lockdown' sebaik melihat orang ramai beratur panjang untuk memasuki pasar raya berkenaan

"Saya ingat nak 'standby' barang sebab masa total lockdown nanti tak payah nak keluar dan boleh duduk di rumah sahaja.

"Tetapi apabila melihat ramai orang beratur, saya tak jadi membeli. Mungkin saya akan datang semula esok dan cuba keluar awal sedikit untuk elak beratur panjang, " katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!