Ketepikan rasa takut, 50 orang asli Batek daftar penerima vaksin

Syaimi Hek@Ab Hadi, 40, (kanan) membantu masyarakat Orang Asli mengisi borang pendaftaran vaksin Covid-19 di Kampung Aring 5, di sini, Sabtu.
Syaimi Hek@Ab Hadi, 40, (kanan) membantu masyarakat Orang Asli mengisi borang pendaftaran vaksin Covid-19 di Kampung Aring 5, di sini, Sabtu.
A
A
A

GUA MUSANG - Seramai 50 daripada 400 masyarakat Orang Asli Batek di Kampung Aring 5, di sini, mula mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 kerana bimbang dengan peningkatan penularan wabak itu di dalam negara.

Mengakui tidak mendaftar lebih awal kerana takut, mereka menukar fikiran selepas mendapat penjelasan lebih terperinci mengenai keperluan untuk mendaftar seterusnya menerima suntikan vaksin.

Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5 Raina Anjang berkata borang pendaftaran vaksin secara manual itu disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan proses berjalan lancar serta mendapat sambutan baik penduduk.

"Mereka sudah menerima maklumat yang tepat berhubung suntikan vaksin yang mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. Seramai 50 orang yang mendaftar setakat hari ini terdiri daripada warga emas dan belia di kampung ini," katanya ketika ditemui semasa program pendaftaran vaksin di Kampung Aring 5, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, seorang penduduk Syaimi Hek@Ab Hadi, 40, berterima kasih kepada Jakoa yang mengambil berat terhadap kebajikan penduduk serta memberi maklumat mengenai pendaftaran vaksin Covid-19 kepada mereka.

"Walaupun kami tinggal jauh di pedalaman tetapi sentiasa mengambil tahu perkembangan penularan Covid-19 di negara ini, kami juga mendengar nasihat kerajaan supaya mengambil langkah berjaga-jaga mengurangkan risiko jangkitan.

"Berkenaan proses pendaftaran vaksin, kami tidak pandai untuk mendaftar menerusi MySejahtera jadi program hari ini amat membantu. Alhamdulillah pembukaan kaunter hari ini membolehkan kami daftar dengan lebih mudah, hanya kita minta suntikan itu dipercepatkan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: