Ramai mula sedar skim baharu

Redhuan (duduk, kiri) bersama pendaftar baharu SPS di Pejabat Perkeso Muar.
Redhuan (duduk, kiri) bersama pendaftar baharu SPS di Pejabat Perkeso Muar.
A
A
A

MUAR - Pemandu persendirian di daerah ini yang menawarkan khidmat teksi, kereta sewa dan e-hailing menunjukkan respon positif untuk mencarum di bawah skim khas yang diperkenalkan Perkeso.

Pengurus Perkeso Cawangan Muar, Redhuan Muda berkata, sejak Januari hingga kelmarin, seramai 40 pemandu didaftarkan dengan Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (SPS).

Katanya, angka itu membuktikan kesedaran tinggi dalam kalangan mereka dan sekali gus memudahkan sasaran Perkeso Muar menetapkan 80 pencarum baharu SPS setiap tahun.

“Kelmarin, kita terima 26 pemandu teksi dan e hailing iaitu grab serta uber untuk mencarum dengan Perkeso. Dan pada hari sama, beberapa pemandu mencarum secara atas talian kerana kekangan masa.

“Jadi, pada hari berkenaan kita peroleh 31 pencarum baharu di bawah SPS. Manakala untuk tahun ini jumlah keseluruhan pula adalah 40 pemandu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Redhuan, tahun lalu, 66 pemandu mendaftar menjadikan 106 pencarum diperoleh.

“Kesedaran untuk mencarum dengan Perkeso adalah kerana penerangan dan maklumat jelas disampaikan rakan mereka yang telah mendaftar sebelum ini.

“Justeru, dengan peningkatan pencarum, kita yakin dapat menarik lebih ramai lagi pemandu persendirian seperti ini menyertai skim Perkeso,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam masa sama, pihaknya juga akan berusaha mendekati pemandu lain bagi menghebahkan manfaat dan kepentingan caruman di bawah SPS.

“Selain pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing, pemandu bas persendirian juga diwajibkan mendaftar skim ini sejak Januari. Walaupun masih baharu, namun kita dah terima dua pemandu bas untuk mencarum.

“Kadar bayaran pemandu bas juga sama seperti teksi dan lain-lain iaitu untuk tempoh setahun bermula RM157.20 hingga RM592.80 mengikut faedah ditetapkan. Untuk maklumat lanjut, mereka juga boleh hubungi kami pada waktu pejabat di talian 06-9542164,” katanya.

Redhuan berkata, pemandu yang ingin mendaftar boleh hadir ke mana-mana pejabat Perkeso ataupun membuat pendaftaran secara atas talian di laman web pertubuhan berkenaan.