Balu imam bersyukur terima faedah Perkeso

Allahyarham Abdul Hamid (kiri) yang mencarum melalui Perkeso telah membantu membela nasib ahli keluarganya yang ditinggalkan.
Allahyarham Abdul Hamid (kiri) yang mencarum melalui Perkeso telah membantu membela nasib ahli keluarganya yang ditinggalkan.
A
A
A

KUANTAN – Kesedaran seorang imam terhadap kepentingan mencarum melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membantu membela nasib dan mengurangkan keperitan hidup warisnya selepas dia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya 11 Mei lalu.

Ketika kejadian, Allahyarham Abdul Hamid Dak, 70, yang juga amil zakat baru selesai mengimamkan solat Zuhur di Masjid Ar-Rahmah, Felda Jengka 25, Bandar Jengka.

Motosikal mangsa dilapor dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda dan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Allahyarham yang merupakan pencarum Perkeso di bawah program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung meninggalkan balu, Danlat Ariffin, 66.

Simpati dengan kejadian malang tersebut, Perkeso telah menyegerakan penyampaian faedah caruman dan bantuan tunai Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 kepada balu Allahyarham baru-baru ini.

Danlat berkata, dia dan keluarga berterima kasih kepada Perkeso atas penyerahan faedah caruman yang ditinggalkan Allahyarham suaminya.

Danlat menunjukkan cek faedah caruman arwah suaminya yang diserahkan pihak Perkeso, baru-baru ini.
Danlat menunjukkan cek faedah caruman arwah suaminya yang diserahkan pihak Perkeso, baru-baru ini.

"Syukur penyerahan ini dilakukan segera dan manfaat caruman ini amat bermakna untuk kami meneruskan kehidupan selepas pemergian arwah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, salah seorang anak Allahyarham, Nurul Fazilah Abd Hamid berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka arwah ada mencarum melalui Perkeso.

"Semasa hayatnya kami langsung tidak tahu ayah ada mencarum sehinggalah menerima panggilan telefon daripada Perkeso untuk penyerahan faedah caruman ini.

"Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan pihak Perkeso yang begitu pantas, cepat dan sistematik dalam tempoh kurang tiga minggu urusan selesai,” katanya.

Perkeso dalam kenyataannya berkata, program SPS Lindung merupakan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan menerusi Belanjawan 2021 pada 6 November 2020.

Inisiatif itu menyasarkan golongan bekerja sendiri termasuk imam, bilal, guru takmir dan siak. Skim ini memberi perlindungan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) daripada sebarang bencana pekerjaan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

"Di bawah inisiatif SPS Lindung, kerajaan memperuntukkan geran RM24 juta untuk disalurkan kepada OBS melalui pembiayaan bayaran penuh caruman SKSPS Perkeso.

"Caruman yang dibiayai kerajaan ini adalah di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan setahun," jelas kenyataan itu.

Tambahnya, sejak program SPS Lindung dikuatkuasakan pada 1 Januari 2021, seramai 75,396 OBS telah berdaftar. Jumlah itu mewakili 75 peratus daripada jumlah yang disasarkan iaitu 100,000 orang.

Selain FPM dan Faedah Orang Tanggungan (FOT), antara faedah lain yang turut disediakan di bawah program itu termasuklah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Faedah Pendidikan.

Sehingga kini sebanyak 17 kes tuntutan faedah telah dibayar kepada OBS yang mencarum di bawah program SPS Lindung.

Penyertaan bagi program SPS Lindung ini dibuka sehingga 31 Disember 2021. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh rujuk laman web rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian 1-300-22-8000 atau e-mel perkeso@perkeso.gov.my," ujarnya.