Jumlah warga emas di Selangor buat ujian saringan meningkat

Peningkatan warga emas dalam kalangan peserta yang hadir ke ujian saringan Covid-19 meningkat kepada 30 peratus sejak ia diadakan di kawasan DUN sejak awal Mei lalu.
Peningkatan warga emas dalam kalangan peserta yang hadir ke ujian saringan Covid-19 meningkat kepada 30 peratus sejak ia diadakan di kawasan DUN sejak awal Mei lalu.
A
A
A

KLANG - Jumlah warga emas yang hadir membuat ujian saringan Covid-19 percuma di bawah inisiatif kerajaan negeri Selangor meningkat sebanyak 30 peratus sejak ia diadakan pada awal Mei lalu.

Tinjauan Sinar Harian di Dewan Serbaguna Teluk Pulai di sini pada Sabtu mendapati golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) diberikan laluan khas untuk mengurangkan masa menunggu sebelum memasuki dewan tersebut.

Hasil tinjauan turut mendapati penganjur memayungi peserta warga emas dan OKU yang berpanas di bawah cahaya matahari terik serta membawa mereka ke khemah menunggu.

Pengurus SELCare Clinic, Mohd Noor Md Nasir berkata, jumlah warga emas dari kawasan luar bandar yang hadir pada program saringan percuma lebih ramai berbanding di bandar sejak ia ditumpukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding hanya di lokasi titik panas sebelum ini.

Mohd Noor
Mohd Noor

Menurut beliau, jumlah warga emas yang hadir pada program itu meningkat sebanyak 30 peratus apabila kerajaan negeri Selangor melakukan ujian saringan Covid-19 di semua DUN Selangor.

“Warga emas di luar bandar dilihat lebih ramai hadir ke ujian saringan Covid-19 berbanding di bandar, namun ia dipengaruhi oleh lokasi-lokasi ujian diadakan.

“Tetapi sejak kerajaan buat keputusan untuk membuat ujian saringan di 56 kawasan DUN, kita dapati peserta daripada warga emas meningkat sebanyak 30 peratus berbanding pendekatan sebelum ini,” katanya di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Seorang warga emas, Roseman Johar, 69, yang hadir pada program itu dengan bertongkat berkata, dia hadir membuat ujian saringan Covid-19 setelah disyorkan oleh anak saudaranya yang merupakan seorang doktor di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Roseman
Roseman

Dia yang juga kehilangan tangan kirinya akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 1986 nekad hadir kerana menyedari golongan sepertinya adalah kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

“Saya dengar dalam media tentang saranan kepada warga emas untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

"Selepas anak saudara saya sarankan untuk hadir pada program ini, saya setuju. Saya juga ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengadakan inisiatif sebegini,” katanya yang merupakan seorang pesara kakitangan kerajaan.

Sementara itu, Jajuly Sarjo, 68, bersama ahli keluarganya datang untuk menjalani ujian saringan Covid-19 setelah dimaklumkan oleh anaknya tentang risiko golongan sepertinya dijangkiti virus tersebut.

Jajuly
Jajuly

Menurutnya, dia juga membuat keputusan untuk menjalani ujian tersebut memandangkan anaknya dan menantunya yang bekerja sering melawatnya di rumah.

“Kita ada kesedaran tentang kewujudan varian virus Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang gejala kepada individu yang dijangkiti.

“Inisiatif kerajaan negeri untuk menganjurkan ujian saringan sebegini tanda kerajaan prihatin terhadap rakyat demi mengekang penularan Covid-19,” katanya.