UMNO, DAP bakal muflis sokongan rakyat jika bergabung

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP bakal muflis sokongan rakyat sekiranya kepimpinan elit dua parti berkenaan masih berhasrat untuk bergabung sebelum atau selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, walaupun perancangan kerjasama UMNO-PH sebelum PRU15 lebih dilihat menguntungkan mereka, UMNO dijangka akan berdepan penyusutan ketara undi daripada lebih 3.6 juta ahli parti itu pada PRU15 sekiranya ianya benar-benar direalisasikan.

Mohd Shukri
Mohd Shukri

Katanya, selain itu, UMNO bakal menerima penentangan daripada pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan cawangan kerana akar umbi parti sememangnya menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

"Kesan negatif sama juga akan dirasai Anwar dan DAP kerana undi teras PKR dan DAP selama ini adalah menerusi sokongan lebih 90 peratus pengundi Cina.

"Masyarakat Cina mempunyai persepsi kepimpinan UMNO sering terpalit amalan rasuah dan melaksanakan tadbir urus negara tidak cekap. Pastinya pengundi kaum itu akan hilang kepercayaan kepada DAP sekiranya kerjasama UMNO-DAP benar-benar dilaksanakan.

"Pada saat ini, sanggupkan Anwar dan DAP berdepan potensi kehilangan undi Cina? Kalau sejumlah 25 peratus sahaja pengundi Cina lari, saya tidak fikir DAP dan PKR terus dominan di Parlimen," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan beberapa pemimpin akar umbi UMNO termasuk Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim terhadap kemungkinan berlaku jajaran baharu politik antara parti terbesar orang Melayu itu dengan PH bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gabungan parti politik yang berlaku selepas PRU15 tidak akan menjadi sebuah kerajaan yang stabil, kuat kerana mereka akan saling mengugut jika tuntutan mereka tidak dilayan.

Terdapat juga cadangan daripada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang menggesa kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) mengemukakan segera calon Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi menepis dakwaan kemungkinan berlaku penjajaran politik baharu BN dengan PH.

Mohd Shukri juga meminta kepimpinan elit UMNO yang bertapak di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur agar tidak menjadikan UMNO sebagai sebuah syarikat Sendirian Berhad dengan menganggap pemimpin akar umbi UMNO sebagai 'pekerja'.

"Kepekaan elit UMNO di Menara Dato Onn terhadap pemimpin akar umbi sangat penting dengan satu kaji selidik segera perlu dibuat bagi mendapatkan suara hati sebenar mereka terhadap sebarang bentuk kerjasama politik dirancang.

"Elit UMNO harus mengkaji geopolitik di peringkat awam dengan hasil sampel pungutan suara pemimpin akar umbi perlu mencakup lebih 60,000 hingga 80,000 orang. Barulah tindakan mereka tidak akan bercanggah dengan aspirasi pemimpin akar umbi," katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Penyelidik Politik Malaysia, UUM, Dr Achmad Dzariean Mohd Nazri menjangkakan UMNO dan DAP akan terkubur daripada landskap politik negara jika gabungan dan kerjasama dua parti itu benar-benar diwujudkan selepas PRU15.

2
2

Jelas beliau, sebarang usaha ke arah kerjasama berkenan sememangnya tidak dipersetujui ahli-ahli UMNO sejak awal lagi dan mampu menghakis keyakinan rakyat terhadap peranan UMNO sebagai pelindung hak ketuanan Melayu.

"Kita tidak sama sekali menolak sebarang kemungkinan kerjasama antara parti-parti politik kerana politik adalah seni segala kemungkinan. Perkara ini sebenarnya sudah pun diberikan petunjuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mana beliau menyatakan bahawa akan ada penjajaran baharu kerana pada pandangan beliau politik adalah dinamik.

"Jadi mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa akan ada kerjasama yang akan terjadi antara UMNO dan DAP walaupun kita tahu kerjasama merupakan satu buah fikiran yang dianggap sebagai idealis, tetapi dalam politik segala-gala boleh berlaku.

"Perkara-perkara ini memungkinkan keadaan bahawa pengundi-pengundi tegar kedua-dua parti akan memboikot PRU akan datang sekiranya kerjasama ini berlaku. Ini satu kemungkinan yang tidak dapat kita elakkan," katanya.